KUALA TERENGGANU, 10 Mac (Bernama) -- Seorang peniaga wanita kerugian RM48,300 selepas menjadi mangsa penipuan e-dagang menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 3 Mac lepas, mangsa berusia 59 tahun itu telah menerima pesanan menerusi WhatsApp daripada suspek menyamar sebagai petugas Jabatan Alam Sekitar Kuala Terengganu.
Beliau berkata suspek kononnya mahu membeli 50 helai kain pasang daripada mangsa, selain memintanya membekalkan hadiah set bakul senandung dan cenderamata keris bagi majlis berbuka puasa.
"Suspek bagaimanapun menetapkan agar mangsa berurusan dengan pembekal yang ditetapkan pihaknya.
"Mangsa yang terperdaya telah menjalankan urus niaga dengan rakan suspek melalui WhatsApp dan membuat tiga kali bayaran berjumlah RM48,300 ke akaun yang diberikan pada 9 Mac lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa menyedari ditipu setelah barangan yang ditempah tidak diterima dan usaha menghubungi kedua-dua suspek tersebut gagal.
Katanya, mangsa membuat laporan polis pada 7.06 malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
