GEORGE TOWN, 9 Mac (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan pengedaran syabu dan pil Erimin 5 dengan penahanan seorang lelaki dan rampasan dadah terbabit yang dianggar bernilai RM2.72 juta dalam serbuan di Seberang Perai Utara, minggu lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di kawasan tempat letak kenderaan dalam operasi yang dijalankan dari 4 petang, 5 Mac hingga 8 malam keesokannya.
“Hasil pemeriksaan pada beg dipegang lelaki itu, polis menemukan sejumlah dadah dan kunci sebuah kereta.
“Polis kemudian memeriksa kereta terbabit dan menjumpai dua beg kain mengandungi 28 bungkusan plastik disyaki berisi syabu seberat 29,466 gram,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata hasil soal siasat, polis memeriksa sebuah lagi kereta di kawasan sama dan menemukan empat bungkusan plastik mengandungi 4,000 kepingan aluminium yang setiap satu berisi 10 biji pil Erimin 5 dianggar seberat 12,546 gram.
Beliau berkata siasatan awal mempercayai lelaki itu yang negatif terhadap dadah namun mempunyai rekod berkaitan kesalahan dadah, bertindak sebagai ‘runner’ sejak Januari lepas.
“Polis turut menyita sebuah kereta Perodua Axia bernilai kira-kira RM15,000 dan lelaki itu kini direman hingga 11 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya menambah nilai dadah dan kereta disita dianggar berjumlah RM2.73 juta.
Dalam kes lain, Azizee berkata polis membongkar sebuah makmal memproses ganja selepas menahan dua lelaki berusia 27 dan 55 tahun bersama pelbagai dadah bernilai RM273,333 dalam serbuan di bandar raya ini pada Jumaat hingga Sabtu lepas.
Beliau berkata dalam serbuan pada 3 petang, Jumaat di kawasan tempat letak kereta, polis menahan seorang lelaki dan merampas satu bungkusan berisi bunga ganja seberat kira-kira 525g, 67 bungkusan ganja seberat 4,536g, satu balang kaca mengandungi ketulan mampat ganja (376 g), 22 peket bunga ganja (1,135 g) serta bunga ganja dalam plastik (446g) di rumahnya.
“Polis turut menemukan produk berasaskan ganja yang telah diproses seperti 22 peket biskut ganja seberat 307 gram, coklat ganja (130) gram, 14 pod vape mengandungi cecair ganja dianggarkan 40 mililiter, dua balang kaca, 12 botol kaca dan lima picagari yang mengandungi cecair ganja dianggarkan 1,709 mililiter selain beberapa bahan kimia serta peralatan dipercayai digunakan untuk memproses ganja,” katanya.
Azizee berkata susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki dipercayai rakan sejenayah di lokasi berasingan.
Polis turut menyita sebuah kereta Proton Saga bernilai RM33,000 dan wang tunai RM7,500 manakala kedua-dua lelaki terbabit yang didapati positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah kini direman hingga 13 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.
-- BERNAMA
