AM

KELUARGA MALAYSIA DI BAHRAIN TERPAKSA SESUAIKAN DIRI DENGAR LETUPAN SEPANJANG RAMADAN

09/03/2026 09:26 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 9 Mac (Bernama) -- Letupan yang kedengaran hampir saban hari di beberapa lokasi di Bahrain sejak pertama kali berlaku di sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Juffair pada 28 Feb lepas memaksa penduduk sentiasa berjaga-jaga susulan peningkatan ketegangan di negara-negara Teluk.

Bagi kebanyakan penduduk termasuk golongan ekspatriat Malaysia, bunyi siren atau aktiviti memantau perkembangan terkini daripada pihak berkuasa tempatan kini menjadi sebahagian rutin harian bagi memastikan keselamatan mereka.

Walaupun berdepan suasana tegang, umat Islam di Bahrain tetap menunaikan ibadah Ramadan namun dalam keadaan yang jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Bahrain, Muhamad Nizam Shaidon, 43, berkata keluarganya masih berusaha menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak dari segi keselamatan susulan insiden itu.

“Sudah lapan hari berlalu sejak letupan pertama pada 28 Feb lepas di pangkalan AS... ia amat mencabar dari segi fizikal dan emosi bagi kami rakyat Malaysia yang tinggal di Bahrain dalam keadaan yang tegang ketika ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Nizam dan isterinya, Norhani Aida Mohd Nor, 42, menetap di Bahrain bersama-sama dua anak perempuan mereka yang berusia 10 serta 13 tahun.

Beliau berkata bunyi siren amaran semakin kerap dan memberi kesan terutama kepada anak mereka yang masih cuba memahami keadaan.

“Kami cuba sedaya upaya untuk kekal tenang khususnya demi anak-anak, dan pada masa yang sama, mengikuti perkembangan semasa serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Nizam berkata rutin harian termasuk menjalani ibadah puasa pada Ramadan tetap diteruskan namun dengan lebih berhati-hati.

“Ramadan kali ini memang berbeza... orang ramai lebih berwaspada dan berhati-hati namun kami tetap berusaha melunaskan tanggungjawab harian kepada agama,” katanya sambil menambah beberapa letupan yang berlaku kebelakangan ini di beberapa lokasi penting di Bahrain turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Antaranya letupan di fasiliti penapisan milik Syarikat Petroleum Bahrain (BAPCO) di Ma’ameer, yang begitu kuat sehingga boleh didengar dari hotel di mana beliau dan keluarganya menginap.

“Ia begitu mencemaskan,” katanya.

Beliau turut menyaksikan kesan satu lagi letupan di sebuah bangunan kediaman di Juffair pada Jumaat lepas.

Beberapa serangan udara telah dilaporkan meskipun kebanyakannya berjaya dipintas oleh Angkatan Pertahanan Bahrain.

Dalam pada itu, Nizam merakamkan penghargaan terhadap inisiatif evakuasi sukarela Kerajaan Malaysia bagi rakyat yang ingin pulang ke tanah air meskipun terdapat cabaran dari segi logistik berikutan penutupan sementara ruang udara di beberapa bahagian rantau Timur Tengah.

“Kita faham situasi membabitkan ruang udara ini agak rumit, dan rakyat Malaysia yang ingin pulang mungkin terpaksa melewati ruang udara Arab Saudi… kami amat menghargai usaha Kerajaan Malaysia membantu rakyat,” katanya.

Nizam, yang bekerja dengan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan sebelum berpindah ke Bahrain hampir 11 tahun lepas, turut mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Besar Malaysia di Manama dan Duta Besar Datuk Shazryll Zahiran atas sokongan yang diberikan.

Buat masa ini, Nizam berkata beliau sekeluarga mengambil keputusan untuk terus berada di Bahrain sambil memantau keadaan dengan teliti serta mematuhi langkah-langkah keselamatan dan arahan rasmi.

Nizam berkata majikannya juga terus menjalankan penilaian risiko harian bagi kawasan sekitar termasuk zon komersial Daerah Seef bagi memastikan lokasi penginapan mereka tetap selamat.

Beliau juga berharap konflik di rantau itu akan segera berakhir dan keadaan pulih seperti biasa.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan