Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah secara keseluruhannya pada Isnin sejajar dengan penjualan meluas di pasaran serantau apabila konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah menjejaskan sentimen pelabur dan menimbulkan semula kebimbangan mengenai inflasi global.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 43.89 mata atau 2.56 peratus kepada 1,674.17 daripada 1,718.06 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Indeks penanda aras yang dibuka 18.93 mata lebih rendah kepada 1,699.13 itu bergerak antara 1,664.07 dan 1,702.77 sepanjang dagangan hari ini.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,141 berbanding 283, manakala 308 kaunter tidak berubah, 900 kaunter tidak diniagakan, dan 33 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 5.52 bilion unit bernilai RM5.87 bilion daripada 3.71 bilion unit bernilai RM4.05 bilion pada Jumaat lepas.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata perang yang memasuki minggu kedua tanpa tanda-tanda reda telah meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak global.
“Harga minyak mentah Brent meningkat melebihi US$110 setong, antara kenaikan paling ketara bagi beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sektor tenaga juga meraih manfaat daripada “premium perang” apabila merekodkan minat belian yang tinggi terhadap saham seperti Hibiscus Petroleum Bhd sekali gus membantu menampan indeks daripada penjualan lebih ketara dalan sektor perbankan dan pengguna.
Beliau berkata pada masa ini, paras sokongan serta-merta pada 1,670 dan jika mencecah di bawah paras itu, pasaran boleh menguji julat antara 1,640 hingga 1,650.
“Memandangkan turun naik yang ketara ini, kami menjangkakan FBM KLCI mencatatkan dagangan dalam julat 1,670 hingga 1,710 sepanjang minggu ini,” katanya.
Pengarah dan Penganalisis Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata kelemahan pasaran semasa didorong terutama oleh perkembangan geopolitik luaran dan bukannya penurunan unjuran ekonomi domestik Malaysia.
“Bagaimanapun, trajektori harga minyak dan perkembangan konflik Timur Tengah akan kekal sebagai pemangkin kritikal jangka masa pendek bagi pasaran global.
“Sekiranya harga minyak kekal tinggi untuk tempoh yang panjang, tekanan inflasi yang timbul boleh menjejaskan unjuran pertumbuhan global manakala turun naik pasaran kewangan akan berlanjutan,” katanya.
Mohd Sedek berkata buat sementara waktu, Bursa Malaysia dijangka terus diniagakan selari dengan sentimen risiko serantau sementara pelabur memantau rapat perkembangan geopolitik dan dinamik pasaran tenaga.
Antara saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank susut 30 sen kepada RM11.46, Public Bank turun 13 sen kepada RM4.74, CIMB kurang 20 sen kepada RM7.77, Tenaga Nasional merosot 36 sen kepada RM13.84, manakala IHH Healthcare turun 25 sen kepada RM8.65.
Bagi saham paling aktif, Velesto Energy naik 1 sen kepada 34 sen dan Hibiscus Petroleum meningkat 34 sen kepada RM2.39, manakala Capital A susut 2 sen kepada 41 sen, AirAsia X merosot 18 sen kepada RM1.10, Pharmaniaga turun dua sen kepada 24 sen, dan Bumi Armada kekal pada 35 sen.
Antara saham paling untung,United Plantations meningkat RM1.42 kepada RM31.70, Kuala Lumpur Kepong naik 22 sen kepada RM19.58, Batu Kawan melonjak 24 sen kepada RM19.64, Hengyuan Refining Company naik 21 sen kepada RM1.90, manakala Petra Energy menokok 20.5 sen kepada 83.5 sen.
Bagi saham paling rugi, Nestle merosot RM3.20 kepada RM102.60, Fraser & Neave susut RM1.30 kepada RM31.62, Malaysian Pacific Industries turun RM1.06 kepada RM29.04, Dutch Lady Milk Industries menguncup RM1.00 kepada RM31.00, dan Hong Leong Financial susut 76 sen kepada RM20.10.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 302.87 mata kepada 12,224.49, Indeks FBMT 100 merosot 303.14 mata kepada 12,064.27, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 277.34 mata kepada 11,929.46, Indeks FBM 70 kurang 361.30 mata kepada 16,742.03, manakala Indeks FBM ACE turun 193.30 mata kepada 4,206.73.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 516.71 mata kepada 20,271.34; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 5.82 mata kepada 172.47, namun Indeks Tenaga meningkat 11.47 mata kepada 806.74 manakala Indeks Perladangan melonjak 191.57 mata kepada 8,440.01.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.74 bilion unit bernilai RM5.55 bilion daripada 2.50 bilion unit bernilai RM3.80 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.30 bilion unit bernilai RM153.66 juta daripada 881.10 juta unit bernilai RM110.71 juta pada akhir minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 480.45 juta unit bernilai RM159.24 juta berbanding 326.47 juta unit bernilai RM138.63 juta sebelum ini.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 714.41 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (644.38 juta), pembinaan (221.80 juta), teknologi (297.96 juta), perkhidmatan kewangan (174.75 juta), hartanah (237.14 juta), perladangan (102.40 juta), amanah pelaburan hartanah (42.25 juta), dana tertutup (62,300), tenaga (944.69 juta), penjagaan kesihatan (187.98 juta), telekomunikasi dan media (59.36 juta), pengangkutan dan logistik (50.63 juta), utiliti (58.82 juta), serta amanah perniagaan (381,700).
-- BERNAMA
