EKONOMI

SC LANCAR PELAN INDUK PASARAN MODAL BAHARU, SASAR SAIZ PASARAN RM20 TRILION MENJELANG 2045

09/03/2026 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Pasaran modal Malaysia dijangka tumbuh mencecah RM13.8 trilion hingga RM20 trilion menjelang 2045 selain berkembang secara organik RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pertumbuhan itu akan disokong oleh pelaksanaan Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP).

Pasaran modal negara telah mencatat pertumbuhan yang mencecah RM4.3 trilion dalam 2025 berbanding RM2.8 trilion pada 2015.

Bersandarkan visi panjang selama 20 tahun, edisi CMP terkini menggariskan pelan induk jelas dengan berpandukan empat tema saling berkaitan -- kepelbagaian, keterangkuman, kemampanan dan peluang serantau, demikian menurut pelan berkenaan.

Edisi keempat CMP oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, bermatlamat meneruskan penjajaran pasaran modal Malaysia dengan kerangka ekonomi serta dasar lebih meluas.

Aspek itu termasuk pembaharuan struktur, cukai bersasar dan insentif pelaburan selain liberalisasi akaun modal.

CMP pertama (2001–2010) telah meletakkan asas bagi pasaran modal moden selepas krisis kewangan Asia, CMP2 (2011–2020) memulihkan keyakinan pasaran pasca krisis kewangan global manakala CMP3 (2021–2025) pula muncul dalam senario pandemik COVID-19.

Edisi CMP terkini menyasarkan aset dengan pendedahan asing pendasar mencecah RM100 bilion hingga RM110 bilion menjelang 2030 serta RM200 bilion hingga RM300 bilion menjelang 2045.

Menjelang 2030 misalnya, usaha itu bertujuan menggerakkan RM90 bilion hingga RM100 bilion dalam pembiayaan terkumpul untuk projek-projek yang memberi impak alam sekitar dan sosial serta dapat diukur dan seterusnya meningkat kepada RM550 bilion hingga RM800 bilion menjelang 2045.

“Menerusi CMP, kita berhasrat meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pelaburan bertanggungjawab dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), instrumen patuh Syariah dan pelaburan sosial bertanggungjawab tidak lagi menjadi pertimbangan sampingan, tetapi cadangan pelaburan yang sebenar,” kata Perdana Menteri dalam ruangan kata pengantar CMP.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan pelan induk berkenaan membolehkan kalangan usahawan mendapat akses pasaran modal, membolehkan pelabur mengembangkan penyelesaian serta membantu rakyat mengambil bahagian secara bermakna dalam aspek penciptaan kekayaan.

 

Pengembangan ke dalam aset kelas baharu

CMP turut menekankan kepentingan pengembangan pasaran untuk merangkumi kelas aset baharu serta model-model pembiayaan.

“Aset-aset digital, kredit swasta dan pelaburan alternatif akan diteroka untuk membuka laluan baharu bagi inovasi serta pertumbuhan perusahaan,” menurut dokumen itu.

Selain itu, teknologi dan inovasi akan membentuk semula penglibatan pelabur, mengurangkan kos pertindihan, membolehkan inovasi produk serta membuka model yang lebih disruptif.

“Platform digital, instrumen tokenisasi dan perkhidmatan nasihat dipacu kecerdasan buatan (AI) akan membantu mengurangkan kos, meningkatkan penyertaan selain menyediakan penyelesaian bersesuaian dengan pelabur,” menurut laporan itu.

Daya saing juga semakin bergantung kepada kecekapan kos, sekali gus mendorong pemain pasaran untuk bertindak memperkemas operasi dan berinovasi di sepanjang rantaian nilai.

“Model perniagaan dan perantara perlu berkembang seiring dengan perubahan platform digital, AI dan model penyahpusat yang membentuk semula peranan tradisional serta mengalihkan industri ke arah model yang khusus mengikut kesesuaian dan berteraskan perkhidmatan.”

Pihak pengawal selia dan perantara akan memainkan peranan masing-masing dalam memupuk inovasi dan mengukuhkan infrastruktur pasaran bagi memacu penerimagunaan teknologi secara lebih meluas.

Pasaran juga dijangka menjadi lebih meluas atau tanpa sempadan dan bersepadu.

Menurut SC, hubungan serantau yang lebih mendalam serta peningkatan kesalinghubungan rentas sempadan akan membuka peluang kepada penyertaan asing lebih ketara, memperluaskan asas pelabur selain menambah baik akses pasaran.

“Ini akan mengukuhkan kecairan pasaran serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi aliran pelaburan. Apabila sempadan antara sektor makin kabur, institusi lebih besar akan mengintegrasikan pelbagai cabang perniagaan manakala pemain yang khusus dapat menyerlah atau berbeza melalui pengkhususan dalam bidang seperti kewangan berimpak dan tokenisasi.”

 

Pasaran modal untuk semua rakyat Malaysia

Berpandukan Rancangan Malaysia Ke-13 dan Kerangka Ekonomi MADANI, Malaysia memberi penekanan membangunkan ekonomi yang terangkum dan berdaya tahan.

Ini turut menekankan komitmen negara untuk menaikkan “paras lantai” bagi meningkatkan tahap kehidupan, memperkukuh perlindungan sosial, memastikan kemajuan mampan serta menggalakkan pembangunan terangkum.

Teras visi CMP adalah untuk memberi akses lebih besar terhadap pasaran modal, menampung keperluan semua rakyat negara ini serta perniagaan kecil sehingga tahap yang semampu mungkin, menurut SC.

 Pada masa ini, penyertaan individu dalam pasaran modal Malaysia adalah di tahap 25 peratus.

“(Angka) ini perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang terangkum. Kira-kira 60 peratus bukan pelabur berusia di bawah 40 tahun yang mencerminkan tahap kesedaran dan penglibatan kewangan yang masih terhad dalam kalangan rakyat muda Malaysia,” menurut dokumen itu.

Selain itu, kurang kepercayaan kekal menjadi halangan dengan lebih separuh (53 peratus) daripada bukan pelabur mengakui bimbang terhadap penipuan sebagai alasan utama keengganan atau tidak menyertai pasaran.

Justeru, kebimbangan sedemikian hanya menyerlahkan lagi keperluan mendesak bagi pendidikan kewangan yang lebih menyeluruh dan berkesan.

CMP juga menggariskan keutamaan dari segi keterangkuman untuk penyusunan semula akses yang selaras dengan perubahan keutamaan pelaburan dalam kalangan pelabur generasi baharu atau seterusnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan