AM

PENCAPAIAN PETUGAS WANITA BERNAMA PACU PERUBAHAN, KECEMERLANGAN - KPE BERNAMA

09/03/2026 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Pencapaian cemerlang petugas wanita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) membuktikan bahawa golongan itu merupakan penggerak utama yang berupaya memacu kecemerlangan agensi berita nasional tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata penglibatan wanita dalam pelbagai bidang termasuk kewartawanan, penyiaran, kewangan, teknikal, dan pengurusan menunjukkan mereka bukan sahaja tenaga kerja berdedikasi, tetapi pemimpin yang mampu mencorak masa depan organisasi.

“(Petugas) Wanita di Bernama telah membuktikan keupayaan mereka bukan sahaja sebagai tenaga kerja yang berdedikasi, malah sebagai pemimpin, pencetus idea, dan penggerak perubahan.

“Kejayaan ini jelas menunjukkan mereka mempunyai potensi besar untuk terus melangkah ke hadapan dan memainkan peranan yang lebih signifikan buat agensi,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Wanita 2026, anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita), di Wisma Bernama, hari ini.

Turut hadir Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain, Ketua Jabatan Komersil Mastura Hassan serta barisan pimpinan tertinggi BENITA. 

Beliau berkata perkara itu jelas dibuktikan apabila bilangan petugas wanita mencecah 450 orang daripada keseluruhan 975 kakitangan Bernama ketika ini, sekali gus membuktikan peranan wanita yang signifikan dalam agensi itu.

“Kita boleh kata bilangan kita hampir seimbang tetapi apa yang saya ingin fokuskan adalah seramai 300 orang daripada kita berada dalam kategori pengurusan dan profesional,” katanya.

 Nur-ul Afida berkata Bernama sentiasa komited dalam mewujudkan persekitaran kerja yang inklusif dan progresif bagi menyokong pembangunan kerjaya wanita.

“Kita percaya apabila wanita diberi peluang yang hadir untuk mengembangkan lagi peranan dan skill  (kemahiran) masing-masing, Bernama akan menjadi lebih kukuh, lebih inovatif dan berdaya saing," katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kakitangan wanita, terutama golongan muda yang mempunyai tempoh perkhidmatan yang panjang, agar terus berani mencabar diri dan meningkatkan kemahiran demi kelestarian kecemerlangan organisasi.

“Saya berharap rakan-rakan wanita di Bernama terus berani mencabar diri, tingkatkan kemahiran dan jangan puas dengan apa yang ada. Kita boleh melangkah lebih jauh, termasuk melanjutkan pengajian untuk meningkatkan kerjaya.

“Lakukan (sambung pengajian) sebab saya sudah melaksanakannya. (Walaupun) sangat mencabar namun ia demi kemajuan diri. Saya amat menggalakkan, namun perlu dapatkan kebenaran pihak pengurusan,” katanya. 

Nur-ul Afida turut melahirkan penghargaan kepada semua petugas wanita atas dedikasi dan komitmen mereka dalam memacu kecemerlangan Bernama sehingga kini.

“Walaupun sambutan kali ini jatuh pada bulan Ramadan, namun ia memang meriah agar ia dapat menyuntik semangat kita untuk terus melangkah ke hadapan... Jadilah wanita Bernama yang mampu memberi inspirasi untuk mencipta perubahan, dan memacu kecemerlangan” katanya.

Bertemakan ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’, kira-kira 250 ahli BENITA pada majlis itu menerima sumbangan sempena Aidilfitri. 

--BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan