KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Malaysia telah meratifikasi tujuh daripada 10 konvensyen teras serta satu protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan.
Beliau berkata langkah itu didorong oleh komitmen perburuhan negara yang selaras dengan prinsip dan amalan sedia ada Malaysia.
“Kerajaan sentiasa komited dan konsisten dalam mematuhi piawaian serta obligasi terhadap Pertubuhan Buruh Antarabangsa, selaras dengan status Malaysia sebagai ahli ILO sejak 1957,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol berhubung pematuhan Malaysia terhadap piawaian ILO serta kesediaan kerajaan meminda akta kesatuan sekerja bagi memberi ruang pembabitan pekerja asing.
Khairul Firdaus berkata komitmen tersebut termasuk pematuhan kepada ILO Declaration on Fundamental Principles and Rights at Work 1998 yang merangkumi beberapa prinsip asas dalam dunia pekerjaan.
“Malaysia komited terus menghormati, menggalakkan dan merealisasikan prinsip-prinsip asas tersebut iaitu kebebasan berkesatuan dan hak untuk mengadakan perundingan kolektif, penghapusan buruh paksa, penghapusan buruh kanak-kanak, penghapusan diskriminasi dalam pekerjaan dan persekitaran pekerjaan yang selamat dan sihat, serta kadar gaji minimum dan waktu kerja bersesuaian,” katanya.
Mengulas isu penglibatan pekerja asing dalam kesatuan sekerja, Khairul Firdaus berkata undang-undang sedia ada membenarkan pekerja bukan warganegara menyertai kesatuan sekerja di negara ini.
“Merujuk kepada peruntukan undang-undang sedia ada, pekerja bukan warga negara boleh menganggotai kesatuan sekerja.
“(Bagaimanapun) sekiranya mereka berhasrat untuk memegang jawatan dalam kesatuan, mereka hendaklah memperoleh pengecualian daripada Menteri Sumber Manusia,” katanya.
Beliau berkata sehingga suku ketiga 2025, sebanyak 28,564 pekerja asing menganggotai 20 kesatuan sekerja di seluruh negara.
-- BERNAMA
