AM

LEBIH 500,000 RAKYAT JOHOR NIKMATI MANFAAT BANTUAN KASIH JOHOR

09/03/2026 12:07 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa 

JOHOR BAHRU, 9 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor terus mempergiat pelbagai inisiatif dan sokongan sosial bagi membantu rakyat negeri itu menghadapi tekanan kos sara hidup ketika ini serta memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang setakat ini memberi manfaat kepada lebih 500,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di negeri itu.

Bantuan Kasih Johor (BKJ) adalah inisiatif berterusan kerajaan negeri yang bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan sasar yang rentan dan berpendapatan rendah.

Bagi BKJ di bawah Belanjawan Johor 2026, sebanyak 24 inisiatif telah dirangka dengan peruntukan hampir RM216.87 juta yang dijangka mampu memberi manfaat kepada kira-kira 585,054 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa ada yang terkecuali.

Onn Hafiz berkata bantuan tersebut dilaksanakan secara agresif hingga akar umbi bagi memastikan sebanyak mungkin rakyat Johor menerima manfaat, sekali gus mengurangkan beban kewangan ditanggung rakyat ketika ini.

“Rakyat berada dalam keadaan susah kerana kos sara hidup tinggi. Sebab itu BKJ ini kita laksanakan secara agresif untuk mengurangkan beban dirasai rakyat di luar sana dan kita akan terus berusaha supaya lebih ramai lagi menerima bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Bernama, diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di sini. 

Onn Hafiz berkata BKJ adalah sebahagian daripada ratusan inisiatif kerajaan negeri itu dalam membantu rakyat, manakala inisiatif lain seperti Jualan Kasih Johor bertujuan memastikan bekalan makanan, khususnya barangan basah, dapat dijual pada harga berpatutan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri turut mempergiat agenda perumahan mampu milik melalui inisiatif Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), dengan hampir 20,000 unit rumah telah siap dibina untuk membantu golongan memerlukan memiliki kediaman sendiri.

Bagi pembeli rumah pertama, kerajaan negeri turut memperkenalkan bantuan RM5,000 selain subsidi tambahan RM2,000 untuk menampung kos berkaitan pembelian rumah seperti membeli peralatan dan pembayaran deposit, katanya.

“Banyak usaha yang kita lakukan untuk meringankan beban rakyat. Perkara ini sangat dekat di hati kerajaan negeri kerana kita mahu mengurangkan tekanan kos sara hidup,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri juga menyalurkan bantuan kepada sektor kesihatan dan pendidikan, termasuk pembinaan klinik baharu di kawasan Hospital Sultan Ismail dan Gelang Patah bagi membolehkan rakyat menikmati akses kesihatan lebih mudah, efisien dan berkualiti.

Bantuan pantri di fasiliti hospital dan klinik pula, katanya, adalah bagi memastikan keselesaan petugas kesihatan agar mereka dapat memberikan perkhidmatan lebih cemerlang kepada rakyat. 

Menerusi sektor pendidikan pula, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM5,000 setahun kepada setiap sekolah di Johor bagi menaik taraf kemudahan bilik guru.

“Kita betul-betul mengamalkan pendekatan seluruh negara, kita menganggap ini tanggungjawab bersama. Kerana kita mahu memastikan bahawa keselesaan petugas-petugas supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan lebih cemerlang kepada Bangsa Johor,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menumpukan perhatian terhadap isu rakyat yang dibangkitkan di peringkat akar umbi, termasuk jalan rosak, longkang tersumbat, lampu jalan tidak menyala dan masalah infrastruktur lain untuk selesaikan secekap mungkin.

Baru-baru ini kerajaan negeri turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2026 sebanyak sebulan gaji kepada 18,455 penjawat awam tetap dan kontrak negeri.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan