IPOH, 9 Mac (Bernama) -- Terus memperkasakan peranan sebagai ejen perpaduan nasional, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Klebang Putra di sini menganjurkan inisiatif iftar ‘ala piknik’ yang berjaya menghimpunkan lebih 200 penduduk taman perumahan tersebut malam tadi.
Lebih menarik, iftar berkonsep ‘pot luck’ itu bukan sahaja disertai penduduk beragama Islam malah mendapat sambutan daripada penduduk kaum lain yang menghuni kejiranan tersebut.
Pengerusi KRT Klebang Putra Mohd Rizal Mohd Rajab berkata inisiatif berkenaan adalah acara tahunan bagi memanfaatkan sumbangan yang diperuntukkan kerajaan dalam mempererat perpaduan antara kaum negara ini.
“Tahun ini merupakan tahun keenam kita laksanakan inisiatif seperti ini. Setiap tahun apabila tiba hari seperti sambutan perayaan pelbagai kaum atau hari kebangsaan, kita akan gunakan sumbangan untuk menganjurkan aktiviti melibatkan penduduk dan kita pastikan semua kaum akan terlibat,” katanya.
Beliau berkata setiap tahun mereka cuba mencari kelainan selain meuar-uarkan aktiviti menerusi kumpulan WhatsApp untuk memberitahu penduduk mengenai aktiviti yang mereka anjurkan.
Bagi penduduk M Banu, 39, dia yang telah tiga tahun tinggal di taman tersebut teruja apabila turut dijemput memeriahkan majlis berbuka puasa.
“Ini kali pertama saya sertai acara pot luck sebegini. Saya hargai semua jiran saya di sini. Ia mengeratkan silaturahim yang sangat penting untuk komuniti kita, kan? Itulah yang saya benar-benar hargai di sini.
“Sebelum ini tidak pernah sertai aktiviti sebegini, sebab tempat kelahiran saya semuanya orang India sahaja. Jadi ini kali pertama saya sertai komuniti pelbagai bangsa di sini, saya sangat berterima kasih kepada pihak KRT,” katanya.
Seorang lagi penduduk S Marimuthu, 38, berkata aktiviti berkenaan dapat mengeratkan perpaduan dan merapatkan hubungan sesama jiran tanpa mengira agama, budaya dan kaum.
“Selama 10 tahun saya menetap di sini saya rasa sangat bersyukur kerana dapat jiran-jiran yang baik, Harap Hari Raya pun dijemputlah sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Perpaduan Daerah Kinta Mohd Azlan Abdullah berkata kejayaan majlis anjuran KRT Klebang Putra itu amat membanggakan dan di luar dari kebiasaan.
“Biasa KRT buat jamuan makan-makandalam dewan, di restoran dan sebagainya, tapi hari ini kita adakan di jalan raya.
“Kita menghimpunkan jiran-jiran di sini untuk memastikan agar semangat kejiranan itu terus utuh, di sini juga kita nak meraikan kepelbagaian dengan menjemput kaum lain untuk sama-sama turut serta merasai suasana berbuka puasa,” katanya.
Beliau berkata KRT mempunyai peranan besar dalam menyatupadukan masyarakat dengan menganjurkan pelbagai aktiviti sekali gus memanfaatkan peruntukan disediakan.
-- BERNAMA
