AM

BAYARAN STR FASA DUA 2026 DIAWALKAN KEPADA 10 MAC - PM ANWAR

09/03/2026 12:13 PM

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Dua 2026 diawalkan kepada 10 Mac bagi membantu penerima membuat persiapan menyambut Aidilfitri. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembayaran awal itu melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion yang akan memanfaatkan kira-kira lima juta penerima di seluruh negara.

"Bayaran STR Fasa Dua, kita awalkan bayarannya. STR Fasa 2 dibayar dulu bulan April 2025 tetapi kita awalkan kerana kita nak sambut Aidilfitri, jadi kita awalkan kepada 10 Mac 2026,” kata beliau pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak akan dibayar pada 13 Mac.

“Ini termasuk pesara kerajaan dan veteran yang berpencen dan tidak berpencen pun dapat RM250 pada tarikh yang sama iaitu 13 Mac dan bantuan ini dikecualikan daripada cukai pendapatan,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan penyaluran sumbangan khas sebanyak RM500 pada 13 Mac kepada kira-kira 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut bagi menghargai khidmat mereka, seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2026. 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut serta Soalan Lazim (FAQ) melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my

Turut hadir dalam perjumpaan berkenaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali dan timbalannya Datuk Dr Fuziah Salleh serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan subsidi tiket penerbangan bernilai RM400 bagi mengurangkan beban pelajar Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, diperluaskan lagi. 

"Oleh kerana masih ada keluhan, jadi mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac lepas telah meluluskan perluasan bantuan subsidi FlySiswa kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), universiti separa kerajaan, institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta Institut Peladangan dan Komoditi. 

"Ini akan melibatkan dan memberi manfaat kepada 50,000 pelajar tahun 2026 ketimbang 44,000 pada tahun lalu," kata beliau.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan