JERTIH, 8 Mac (Bernama) -- Polis mengesahkan remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Cameron Highland kali terakhir dikesan singgah di sebuah stesen minyak di Beting Lintang di sini pada awal pagi Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Rozaime Ab Rahim berkata hasil pemerhatian pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut mengesahkan mangsa ialah Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, yang singgah di lokasi tersebut sebelum dia gagal dikesan hingga sekarang.
“Polis sedang giat mengesan keberadaan mangsa dan kertas siasatan orang hilang telah dibuka selepas menerima laporan daripada keluarga mangsa pada petang Jumaat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Besut atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, bapa mangsa Ahmad Azhar Mohd Yusof, 59, ketika dihubungi Bernama berkata kehilangan anaknya berlaku ketika mereka tujuh sekeluarga dari Kampung Batin, Seberang Takir dalam perjalanan untuk bercuti ke Cameron Highlands pada Khamis Lepas.
Ahmad Azhar berkata dalam perjalanan itu anaknya menunggang motosikal jenis Yamaha R15, manakala dia bersama ahli keluarga lain menaiki sebuah kereta.
“Kali terakhir saya dan keluarga bertemu Ahmad Azreeq Zafreen ketika kami sama-sama berhenti di sebuah stesen minyak di Kampung Saujana, Setiu dan kemudian saya bergerak dahulu di hadapan untuk meneruskan perjalanan.
“Pada 12.30 tengah malam kami singgah untuk makan di Kampung Anak Ikan Besut dan menghubungi dia agar berhenti di kedai makan sama namun hingga sekarang gagal dihubungi,” katanya.
Ahmad Azhar berdoa agar anaknya itu segera ditemui dalam keadaan selamat, selain berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dapat tampil membantu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
-- BERNAMA
