PONTIAN, 8 Mac (Bernama) -- Inisiatif Rumah Bangsa oleh UMNO tidak mengenakan sebarang syarat kerana ia berteraskan konsep “forgive and forget” (memaafkan dan melupakan) bagi memperkukuh perpaduan dalam parti serta perjuangan bangsa Melayu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata inisiatif tersebut merupakan idea murni sebagai wadah penyatuan bagi mengukuhkan perjuangan parti dan bangsa Melayu dalam UMNO.
“Kita tidak mengenakan apa-apa syarat. Tidak ada sesiapa perlu memohon maaf kepada sesiapa. Kita mahu forgive and forget. Kalau kita hendak ungkit, memang banyak perkara boleh diungkit, tetapi apabila kita terus mengungkit, akhirnya tiada siapa yang akan mahu kembali,” katanya kepada Bernama di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Rumah Bangsa menjelaskan keputusan untuk kembali menyertai UMNO bergantung sepenuhnya kepada individu berkenaan memandangkan parti itu kini membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang dipecat, digantung atau telah meninggalkan perjuangan sebelum ini.
“Siapa yang mahu masuk, masuklah. Kalau tidak mahu, tidak mengapa. Kita sudah menyatakan bahawa pendekatan ini tanpa syarat seperti yang disebut oleh Presiden UMNO,” katanya.
Jumaat lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Ahmad turut mengimbau peristiwa pada 1996 apabila Parti Melayu Semangat 46 dibubarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan semua ahlinya diterima masuk semula ke dalam UMNO secara en bloc (keseluruhan) tanpa syarat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian itu berkata inisiatif Rumah Bangsa selari dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai kemaafan demi kepentingan perjuangan yang lebih besar.
“Barangkali mereka (bekas ahli) juga sudah menyedari kesilapan masing-masing. Jadi duri yang dahulu tajam itu mungkin kini sudah tidak lagi berduri. Kita mahu melupakan segala yang lalu demi memperkukuh perjuangan parti,” katanya.
-- BERNAMA
