KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh diperlukan bagi memastikan ketelusan serta keyakinan masyarakat terhadap usaha membanteras rasuah di negara ini termasuk mengukuhkan pengawasan Parlimen terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berkata pengawasan sedemikan tidak akan mengganggu siasatan, sebaliknya membantu memastikan undang-undang yang mentadbir SPRM berkembang seiring dengan tahap ketelusan dan keyakinan awam yang lebih tinggi.
“Laporan berkala kepada Parlimen membolehkan wakil rakyat menilai kerja Suruhanjaya, manakala badan-badan seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang khusus boleh meneliti dasar, prosedur, dan keputusan penguatkuasaan.
“Saya telah berulang kali membangkitkan risiko sistemik yang timbul daripada kebimbangan sebegini dan akan terus menyokong usaha untuk menanganinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pengawasan Parlimen terhadap SPRM bukanlah satu serangan terhadap usaha membanteras rasuah, sebaliknya sebagai penyempurnaan kepada usaha memperkukuh integriti serta ketelusan dalam usaha memerangi rasuah.
Nurul Izzah berkata kebertanggungjawaban harus bersifat menyeluruh bagi memastikan institusi negara kekal dipercayai serta terus mendapat keyakinan rakyat.
“Institusi kerajaan harus sentiasa membuktikan bahawa mereka berkhidmat demi kepentingan seluruh rakyat dan negara, bukannya untuk segelintir individu atau kelompok tertentu.
“Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan kekal sebagai tonggak utama demi memastikan kejayaan pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan,” katanya.
-- BERNAMA
