AM

PERKASA ANAK MUDA DENGAN PENDIDIKAN, ELAK TERPENGARUH IDEOLOGI EKSTREMIS - PM ANWAR

07/03/2026 05:30 PM

BUKIT MERTAJAM, 7 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu anak-anak muda diperkasa dengan pendidikan, penerangan dan kesedaran yang kukuh bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan ideologi ekstremis menyokong kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Anwar berkata ia susulan kewujudan satu kelompok kecil anak muda yang didapati terpengaruh dengan hasutan pihak luar yang cuba mempromosikan penubuhan kumpulan itu.

"Semalam Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail) buat kenyataan tentang muncul satu kelompok anak-anak muda 18 dan 19 tahun terpengaruh dengan hasutan luar ISIS yang nak buat Islamic State, ajar bagaimana bikin bom dan saya syukur kepada Allah SWT... pertama keadaan masih terkawal dan kedua pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang cekap mengenal pasti.

"… tetapi jangan kita alpa dan cuai kerana anak-anak kita mesti dididik dengan ilmu, dengan penerangan, pencerahan kesedaran kerana tanpa asas ilmu, mudah orang pengaruh. Ini pengaruh di luar dan masalah di luar di bawa ke sini," kata beliau ketika berucap merasmikan Masjid Mengkuang Titi, Permatang Pauh dan Sambutan Nuzul Quran 1447H di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

PDRM telah melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas IS di negara ini dengan penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur menerusi operasi khas baru-baru ini.

Mohd Khalid dilaporkan berkata suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun ditahan dalam operasi dilancarkan oleh Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Feb di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek bukan sahaja telah berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS malah aktif memberi sokongan, merekrut ahli baharu dan memiliki bahan propaganda kumpulan pengganas itu.

Lebih membimbangkan, mereka turut dikesan merancang serangan ke sasaran strategik termasuk balai polis, lokasi penting kerajaan dan fasiliti kepentingan awam dalam negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan