AM

LOKE GESA TINDAKAN SEGERA ISU BANJIR KILAT PLUS

06/03/2026 09:56 PM

SEREMBAN, 6 Mac (Bernama) -- Banjir kilat luar biasa berlaku di Kilometer (KM) 287 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Nilai semalam sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas, sekali gus menuntut pelan kontingensi serta kajian menyeluruh.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata situasi itu memerlukan tindakan segera daripada pengendali lebuh raya bagi memastikan infrastruktur mampu menampung perubahan cuaca serta pembangunan di sekitarnya.

“Saya percaya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS sudah tentu mengambil langkah susulan. Memang terdapat projek baharu di sepanjang lebuh raya yang sedang diterokai dan dibangunkan.

“Jika itu menjadi punca berlakunya banjir kilat, pihak pemaju dan kontraktor perlu mengambil tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM275,000 kepada 35 masjid dan 160 surau di bawah Parlimen Seremban serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.

Dalam pada itu, Loke berkata kejadian banjir di lebuh raya bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna, malah turut membawa risiko keselamatan yang serius.

Semalam, hujan lebat berterusan pada sebelah petang menyebabkan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Nilai dilanda banjir kilat sehingga air melimpah masuk ke ruang makan premis di kawasan itu.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan air berwarna coklat mengalir deras, menenggelami sebahagian kawasan tempat makan, laluan pejalan kaki serta parkir berhampiran hentian rehat berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan