AM

MALU, KOTOR, DAN BAU BUSUK SUDAH SEBATI BAGI PENGUTIP SAMPAH ALAM FLORA

06/03/2026 12:52 PM

KUANTAN, 6 Mac (Bernama) -- Malu, kotor dan berbau busuk telah sebati dalam diri Wan Othman Wan Mohd Nor Hasyim yang bekerja sebagai pengutip sampah bagi syarikat Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) daerah Kuantan sejak lebih empat tahun lalu. 

Beliau yang berusia 23 tahun itu sudah tidak merasa canggung dengan perasaan itu, kerana pekerjaan yang dilakukannya itu adalah demi membantu keluarga, khususnya ayah dan ibu serta adik beradiknya.

"Saya mula bekerja sejak 2021 lagi, ketika saya berusia 18 tahun. Hari pertama dengan hari kedua kerja bau busuk dia ‘menyengat’ sehingga melekat ke dalam hidung, tetapi lama-lama ia dah sebati dan memang dah tak rasa berbau,” katanya ketika ditemui pemberita di sekitar bandaraya Kuantan.  

Beliau yang bertugas pada syif bermula 9 malam hingga 6 pagi bersyukur kerana pendapatan daripada pekerjaannya itu membolehkannya membantu ayahnya, yang juga pekerja pembersihan di Alam Flora, untuk menampung perbelanjaan tiga lagi adiknya yang masih bersekolah, masing-masing berusia 12, 15 dan 16 tahun. 

“Orang yang memandang jijik pekerjaan itu, terpulang kepada masyarakat, bagi saya pekerjaan pembersihan ini memberi kesan positif kepada banyak perkara,” katanya yang turut bekerja sambilan di sebuah restoran pada siang hari.

Mengenai cabaran yang dihadapi sebagai pekerja pembersihan, Wan Othman mengakui ada sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah secara bertaburan di hadapan rumah sehingga menyukarkan proses kutipan dilakukan.

“Terdapat juga pemilik rumah yang memarahi pekerja pembersihan dengan mendakwa sampah tidak dikutip dengan betul selain meminta kawasan di hadapan kediaman mereka dibersihkan,” katanya. 

Beliau tidak menafikan pernah berlaku pertengkaran kecil antara dirinya dan beberapa pemilik rumah yang meminta khidmat di luar skop tugas seperti mencuci kawasan hadapan rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata masih ramai masyarakat yang bersikap baik dengan menghulurkan minuman dan makanan kepada mereka ketika menjalankan kerja mengangkut sampah di kawasan perumahan.

Dalam usia yang masih muda, Wan Othman berharap dapat berkhidmat bagi tempoh yang lebih lama serta seterusnya menjadi pemandu lori syarikat itu. 

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Operasi Alam Flora Daerah Kuantan Khairul Hajrin Khairuddin berkata Wan Othman yang bekerja sebagai Pekerja Am syarikat  itu merupakan antara 10 pekerja muda yang berusia antara 18 hingga 23 tahun.

"Pekerjaan mengutip sampah ini memerlukan tenaga muda dan pengambilan pekerja baharu bermula daripada usia 35 tahun ke bawah. Setakat ini pekerja kutipan sampah bagi daerah Kuantan berjumlah 154 orang, berusia antara 18 hingga 56 tahun,” katanya. 

Khairul Hajrin berkata purata kutipan sampah sehari bagi syif malam adalah sebanyak 24 tan dengan penggunaan tiga lori, manakala 400 tan lagi dikutip pada waktu siang dengan melibatkan 50 lori.

Beliau menambah pekerja pengutip sampah di negara maju sering dianggap sebagai pekerjaan penting dan dihormati yang menjaga kelestarian kawasan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan