MELAKA, 5 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyasarkan kutipan 30,000 kilogram (kg) makanan dan minuman untuk diselamatkan daripada pembaziran menerusi pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) sepanjang Ramadan tahun ini.
Pengarah KPDN Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata sasaran itu ditetapkan berdasarkan peningkatan jumlah penyertaan peniaga dan pengunjung, termasuk di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di empat lokasi seluruh negeri.
Beliau berkata pengumpulan makanan bermula pada 2 Mac lepas di dua lokasi, iaitu Bazar Ramadan Alor Gajah dan Bazar Ramadan Semabok Perdana setakat ini mencatatkan 1,122 kg makanan dan minuman bernilai kira-kira RM13,464 berjaya diselamatkan daripada pembaziran.
“Melalui i-FB, lebihan makanan yang masih elok dan selamat dimakan akan dikumpul sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan, termasuk pelajar institusi pendidikan serta komuniti dengan kerjasama Institusi Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia,” katanya pada sidang media penganjuran BRR di Bazar Ramadan Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja membantu meringankan beban penerima, malah menyokong agenda pengurangan sisa makanan melalui penjenamaan semula kempen MYSAVEFOOD yang dilaksanakan secara berterusan.
Dalam pada itu, beliau berkata BRR di empat lokasi yang menjadi pusat tumpuan pengunjung dan peniaga itu menawarkan juadah berbuka puasa RM5 melalui pelaksanaan Menu Rahmah oleh 150 peniaga yang mengambil bahagian.
“Kami menggalakkan agar peniaga BRR memperbanyakkan pilihan juadah Menu Rahmah dan sebagai penghargaan, setiap peniaga ini akan diberikan baucar tanpa tunai bernilai RM100.
“Cara ini bukan sahaja memastikan golongan tidak berkemampuan memiliki juadah seimbang tetapi juga menggalakkan transaksi tanpa tunai,” katanya.
-- BERNAMA
