ISTANBUL, March 5 (Bernama-Anadolu) -- Azerbaijan pada Khamis mendakwa enklafnya, Nakhchivan, diserang dron yang dilancarkan dari wilayah Iran, lapor Anadolu Ajansi.
Kementerian Luar Azerbaijan dalam satu kenyataan memaklumkan serangan itu berlaku waktu tengah hari, dengan dron mengenai bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Nakhchivan manakala sebuah lagi jatuh berhampiran bangunan sekolah di Kampung Shakarabad.
“Kami mengecam keras serangan dron yang dilancarkan dari wilayah Republik Islam Iran ini, yang mengakibatkan kerosakan pada bangunan lapangan terbang serta mencederakan dua orang awam,” menurut kenyataan itu.
Azerbaijan menyifatkan serangan itu “pelanggaran terhadap norma dan prinsip undang-undang antarabangsa serta boleh meningkatkan ketegangan di rantau ini.”
Kementerian itu turut memaklumkan yang Azerbaijan berhak mengambil “langkah tindak balas yang sewajarnya.”
Dalam pada itu, Duta Iran ke Baku Mojtaba Demirchilou dipanggil ke Kementerian Luar Azerbaijan bagi menyampaikan “bantahan keras” serta menyerahkan nota diplomatik kepada pihak Iran.
-- BERNAMA-ANADOLU
Iran, Azerbaijan, konflik Timur Tengah
