AM

DUA PEMANCING HILANG DI PERAIRAN PELABUHAN KLANG 

05/03/2026 10:58 PM

SHAH ALAM, 5 Mac (Bernama) -- Dua rakan disyaki hilang selepas keluar memancing dengan menaiki sebuah bot di sekitar perairan Pelabuhan Klang di sini, sejak Ahad lepas. 

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Irwanshah Ismail, 33, bersama rakannya yang hanya dikenali sebagai Halim.

Beliau berkata kehilangan mereka dilaporkan oleh adik Muhammad Irwanshah yang hadir ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor semalam,

Katanya kedua-dua mangsa dipercayai keluar ke laut menggunakan bot gentian kaca dari Jeti Kampung Pendamar, Klang pada 12.30 tengah hari, namun tidak pulang sehingga kini.

“Berdasarkan laporan isteri mangsa, kali terakhir mereka berhubung  adalah pada 8.30 malam hari yang sama menerusi aplikasi WhatsApp. 

“Mangsa memaklumkan mereka sedang berlindung di sebuah rumah pancing berikutan angin kencang, dengan jarak perjalanan kira-kira satu jam dari jeti Kampung Pendamar, namun kedudukan tepat tidak dinyatakan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Susulan itu, Abdul Muhaimin berkata pihaknya mengatur gerak aset Bot PERKASA 36 ke kawasan rumah pancing di perairan Pulau Ketam bagi melaksanakan pencarian awal, sebelum Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada 2.45 petang semalam.

“Operasi hari pertama ditangguhkan pada 8.30 malam berikutan cuaca buruk serta keadaan gelap yang menyukarkan pencarian dan disambung semula pada 7 pagi tadi.

“Maritim Negeri Selangor turut membuka Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi menyelaras gerak kerja operasi di sektor pencarian,” katanya. 

Abdul Muhaimin berkata operasi hari kedua pula diteruskan dengan penambahan tiga aset daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), meliputi keluasan sektor pencarian seluas 66 batu nautika persegi.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga dikenali sebagai Halim supaya menghubungi Maritim Negeri Selangor bagi membantu usaha pencarian. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan