KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kerajaan masih menjalankan kajian lanjut sebelum memperluaskan kategori barangan basah dalam Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kata Kementerian Kewangan (MOF).
Kementerian itu berkata kajian lanjut itu perlu bagi memastikan aspek kualiti dan keselamatan makanan, selain memberi jaminan kepada pengguna sebelum sebarang keputusan muktamad diambil.
“Kerajaan terbuka kepada cadangan dan input berterusan dalam menambah baik program SARA sedia ada.
“Bermula 9 Februari 2026, kerajaan telah meluaskan kategori barangan SARA kepada makanan sejuk beku (frozen foods) sebagai kategori baharu menjadikan 15 kategori barangan berbanding 14 kategori barangan sebelum ini,” kata kementerian itu melalui jawapan bertulis Dewan Negara hari ini.
Kerajaan juga telah menambah bilangan jenis barangan yang boleh dibeli kepada 140,000 barangan berbanding 100,000 barangan sebelum ini.
MOF berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Ahmad Ibrahim mengenai sama ada kementerian itu akan memperluaskan kategori barangan keperluan asas dalam bantuan SARA termasuk kategori barangan basah seperti ayam, daging dan sayur.
Sementara itu, MOF berkata kerajaan akan terus meneliti dan mengkaji perluasan SARA kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) daripada golongan asnaf, B40 dan M40 dengan mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terlebih dahulu.
Kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan program bantuan tunai kerajaan terus disalurkan kepada golongan memerlukan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
MOF berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai sama ada kerajaan bercadang memperluaskan SARA dalam bentuk bantuan bulanan kepada pelajar IPT daripada golongan asnaf, B40 dan M40, bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
-- BERNAMA
