MELAKA, 5 Mac (Bernama) -- Zakat Melaka dengan kerjasama syarikat Sinar Jernih Sdn Bhd meraikan 60 anak yatim, miskin dan fakir di negeri itu dengan membawa mereka membeli pakaian baharu sebagai persiapan Aidilfitri melibatkan peruntukan RM12,000.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata kesemua penerima terdiri daripada murid sekolah rendah dari enam Parlimen di negeri itu dengan peruntukan RM200 setiap seorang.
Beliau berkata dua sekolah dipilih bagi setiap Parlimen berkenaan dengan lima penerima bagi setiap sekolah.
"Program ini adalah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat Zakat Melaka sempena Ramadan ini bagi membantu anak-anak kurang berkemampuan membeli pakaian baharu bagi menyambut Aidilfitri.
"Anak-anak ini diberi peluang memilih sendiri pakaian mengikut cita rasa dan keselesaan mereka," katanya selepas Program Sinar Kasih Ramadan Bersama Anak-Anak Asnaf 1447H/2026M Zakat Melaka itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Zohaime Muhamad Sori.
Rahmad berkata kanak-kanak berkenaan turut menerima sumbangan duit raya daripada Sinar Jernih Sdn Bhd sebagai tanda keprihatinan dan sokongan dalam menceriakan sambutan Aidilfitri mereka.
-- BERNAMA
