AM

RUU RTS LINK JOHOR BAHRU-SINGAPURA 2026 TIDAK PERLUKAN PINDAAN PERLEMBAGAAN

05/03/2026 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura 2026 tidak memerlukan sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang luar wilayah dijalankan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kuasa bagi penggubalan undang-undang tersebut telah termaktub di bawah Perkara 73 dan Butiran 1(g) Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, tidak timbul isu keperluan meminda Perlembagaan bagi menyelaraskan kerjasama undang-undang antara Malaysia dan Singapura dalam projek ini," katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan yang dibahaskan lapan senator di Dewan Negara hari ini.

RUU berkenaan kemudian diluluskan dengan majoriti suara bersetuju.

Shamsul Anuar berkata pemberian kuasa kepada pegawai penguat kuasa Singapura di stesen Bukit Chagar yang diperuntukkan dalam akta itu adalah terhad kepada fungsi Kastam, Imigresen dan keselamatan di kawasan yang ditetapkan sahaja dan kedaulatan negara tetap terpelihara.

“Kekebalan pegawai Singapura adalah berbentuk 'kekebalan berfungsi' sahaja. Sekiranya mereka melakukan jenayah peribadi, mereka boleh ditahan dan dibicarakan di bawah undang-undang Malaysia.

“Selain itu, atas prinsip timbal balas, mana-mana individu yang ditahan oleh pegawai Singapura di negara itu akan diserahkan segera kepada pihak berkuasa Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

RUU RTS Link Johor Bahru-Singapura 2026 yang terbahagi kepada  lapan bahagian mengandungi 28 fasal dan satu jadual itu, bertujuan memperkukuh asas perundangan operasi pengangkutan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Melalui undang-undang itu, sistem RTS akan menggunakan konsep pemeriksaan dan pelepasan tunggal di satu lokasi sahaja, menjimatkan masa perjalanan rakyat secara drastik kepada hanya lima minit.

Sementara itu, Dewan Negara turut meluluskan RUU Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025 yang menyokong usaha meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perjanjian penyelesaian yang terhasil daripada pengantaraan atau Konvensyen Singapura, yang telah ditandatangani Malaysia pada 2019.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran ketika membentangkan RUU untuk bacaan kali kedua berkata akta itu penting untuk mengukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) yang semakin meluas digunakan di peringkat global, tanpa hanya bergantung kepada proses mahkamah.

"Penggubalan RUU ini bukan sekadar memperkukuhkan reformasi undang-undang sedia ada, tetapi juga meningkatkan keyakinan pelabur dan komuniti perdagangan terhadap sistem penyelesaian pertikaian di Malaysia, sekali gus memartabatkan imej negara sebagai hub penyelesaian pertikaian serantau terpilih, terutamanya di Asia," katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung pada Isnin.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan