JAKARTA, Mac 4 (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada Jumaat ini selepas tiga tahun berkhidmat, dengan harapan hubungan erat antara dua negara serumpun itu terus berkembang.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang ke-18 itu berkata sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah menyaksikan sendiri keakraban dan kerjasama erat antara Malaysia dan Indonesia, yang bukan sekadar hubungan diplomatik tetapi turut berakar pada sejarah, budaya, bahasa serta nilai-nilai yang diwarisi bersama.
Beliau berkata pelbagai usaha dilaksanakan bagi mengeratkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pertahanan, pendidikan dan sosial.
“Saya bersyukur usaha ini sentiasa mendapat dukungan dan kerjasama erat dari Indonesia. Kejayaan ini bukanlah hasil individu semata-mata tetapi hasil komitmen kolektif semua pihak,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama organisasi masyarakat dan media di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, di sini, Rabu malam.
Syed Mohamad Hasrin berkata hubungan dua hala antara kedua-dua negara juga mencatatkan rekod yang sangat cemerlang.
“Tahun lalu juga kita telah merekodkan pencapaian-pencapaian yang positif, apabila dari segi perdagangan dua hala mencatat peningkatan sebanyak 5.3 peratus kepada US$26.6 bilion meningkat daripada US$25.5 bilion tahun sebelumnya.
“Dari segi pertukaran kunjungan antara kedua-dua masyarakat kita, pada tahun lalu 4.2 juta pelancong Indonesia telah berkunjung ke Malaysia dan selama ini lebih dari dua juta rakyat Malaysia berkunjung ke Indonesia dan pengunjung Malaysia masih memegang rekod nombor satu pelancong asing terbesar ke Indonesia,” katanya.
Ke hadapan, Syed Mohamad Hasrin berkata harapannya sudah tentu untuk melihat hubungan Malaysia dan Indonesia terus berkembang dan kukuh.
“Sebagai dua negara pengasas ASEAN, kita akan utuhkan tonggak kepada kekuatan ASEAN. Hubungan Malaysia dan Indonesia yang kukuh dan kuat, sudah pasti menyumbang secara positif kepada kerjasama serantau di ASEAN,” katanya.
Mengenai penggantinya, Syed Mohamad Hasrin yakin beliau seorang sangat berpengalaman.
“Kita masih menunggu kelulusan... harapan saya adalah terus memberikan kerjasama yang sama dan erat kepada beliau (bakal duta) untuk menyambung tugasan yang ditinggalkan sebelum ini.
“Bukan dari saya saja, dari duta-duta sebelumnya, agar persahabatan antara kedua-dua negara terus rapat dan erat,” katanya.
-- BERNAMA
