AM

SKIM BARAKAT: KUSKOP LULUS RM2.5 JUTA UNTUK USAHAWAN MIKRO DI PULAU PINANG

04/03/2026 08:57 PM

GEORGE TOWN, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) meluluskan RM2.5 juta kepada usahawan mikro di Pulau Pinang menerusi Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT).

KUSKOP dalam kenyataan hari ini memaklumkan skim itu adalah inisiatif pembiayaan yang dirangka khusus untuk membantu peniaga kecil memanfaatkan peluang perniagaan sepanjang Ramadan dan musim perayaan.

“Sehingga hari ini, prestasi penyaluran dana di bawah Skim BARAKAT di Pulau Pinang menunjukkan perkembangan positif dan memberangsangkan, dengan 357 permohonan diterima daripada peniaga dan jumlah kelulusan setakat ini hampir mencecah RM2.5 juta,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim hadir ke Uptown Bandar Perda, Bukit Mertajam baru-baru ini bagi menyantuni penerima pembiayaan Skim BARAKAT selain meninjau sendiri perkembangan perniagaan di kawasan itu.

Dalam lawatan itu, Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam turut menyerahkan cek cura kepada tiga peniaga sebagai simbolik penyaluran pembiayaan Skim BARAKAT. 

Sim memberikan jaminan KUSKOP dan TEKUN Nasional akan memastikan proses birokrasi diminimumkan sementara penyaluran dana dipercepatkan untuk memastikan penerima dapat memanfaatkan peluang perniagaan sepanjang Ramadan dan Syawal yang bakal tiba. 

KUSKOP memaklumkan antara penerima ialah Mohd Rahim Ibrahim, yang telah menjalankan perniagaan pakaian jean selama 11 tahun dan memperoleh pembiayaan RM30,000 yang akan digunakan untuk memperkukuh bekalan stok sempena musim perayaan.

Seorang lagi penerima, Mohamad Afif Mohamad Salim yang telah mengusahakan perniagaan pakaian selama enam tahun menerima pembiayaan RM30,000 bagi menambah stok pakaian untuk memenuhi peningkatan permintaan sepanjang Ramadan.

Di bawah Skim BARAKAT, pembiayaan sehingga RM30,000 ditawarkan dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun dan tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan manakala pemohon dikecualikan daripada simpanan, namun caruman Perkeso diwajibkan.

KUSKOP meminta peniaga yang memerlukan supaya merebut peluang itu dan memohon sebelum 15 Mac 2026. Skim ini terbuka kepada Bumiputera dan Warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 65 tahun. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan