EKONOMI

KERAJAAN PANTAU KONFLIK TIMUR TENGAH, IMPAK TERHADAP PERDAGANGAN MALAYSIA KECIL

04/03/2026 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan terus memantau keadaan konflik yang berlaku di Timur Tengah, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.

Beliau berkata jumlah perdagangan Malaysia dan Iran adalah kecil, iaitu kira-kira RM2.45 bilion atau 0.09 peratus daripada keseluruhan perdagangan negara pada 2024.

“Oleh itu, impaknya kurang daripada 0.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Low Kian Chuan mengenai impak konflik di Timur Tengah terhadap sektor eksport Malaysia sekiranya pergolakan itu berlanjutan khususnya gangguan laluan perkapalan di Selat Hormuz.

“Malaysia mematuhi sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Oleh itu, kita hanya mengeksport barangan atau mengimport barangan yang dibenarkan oleh PBB.

“Contohnya, makanan, minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit, tekstil, pakaian, kasut, produk perkilangan berasaskan minyak sawit dan getah asli. Ini adalah barangan yang kita boleh import-eksport dengan Iran.

“Setakat ini, sektor yang menjejaskan (Malaysia) ialah petroleum dan gas asli dari Iran. Bagaimanapun, kita tidak mempunyai banyak import dari sana,” katanya.

Ketegangan di Timur Tengah memuncak selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, sebelum Iran melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta ke kemudahan tentera AS di Timur Tengah.

Terdahulu, Sim berkata Malaysia kekal dengan pendirian sebagai negara neutral dan berkecuali dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik global dan tarif timbal balas yang dikenakan oleh AS.

Beliau menjawab soalan Senator Wan Martina Wan Yusoff mengenai langkah Malaysia untuk mengimbangi tekanan geopolitik daripada kuasa besar tanpa menjejaskan akses pasaran eksport.

Katanya pendirian Malaysia yang juga sebagai 'friends-to-everyone' telah mendorong prestasi perdagangan negara kekal stabil pada 2025. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan