GENEVA, 4 Mac (Bernama-CMG) -- China menyeru semua pihak bersinergi untuk menambah baik tadbir urus hak asasi manusia di peringkat global.
Seruan itu disampaikan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva dan pertubuhan antarabangsa lain di Switzerland, Jia Guide semasa sesi ke-61 Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) di sini, pada Isnin.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 penubuhan UNHRC dan juga genap 40 tahun PBB menerima pakai deklarasi mengenai hak pembangunan.
Jia berkata usaha memperkasakan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa kini berdepan cabaran serius susulan kebangkitan semula unilateralisme, proteksionisme dan amalan hegemoni.
Duta China turut meluahkan kebimbangan terhadap situasi semasa di rantau Timur Tengah.
Beliau menyeru agar semua pihak mempertahankan sistem multilateral berteraskan PBB, di samping memajukan secara seimbang tiga tonggak utama PBB iaitu keamanan dan keselamatan, pembangunan serta hak asasi manusia.
Jia turut menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran yang aman bagi memajukan hak asasi manusia serta mengembangkan pelbagai hak berkenaan secara seimbang menerusi pendekatan berpaksikan rakyat.
-- BERNAMA-CMG
