PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Hanya seorang daripada empat anak bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas notis dikeluarkan untuk mereka hadir ke pejabat SPRM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata individu itu ialah Md Wira Dani manakala keberadaan tiga lagi anak Allahyarham, iaitu Asnida, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin setakat ini tidak diketahui.
“Kita sudah cuba (mengesan) melalui pihak peguam untuk menghubungi tiga yang lain supaya hadir secepat mungkin ke pejabat kita,” katanya dan menambah SPRM melaksanakan Ops Godfather bagi menyiasat kes ketidakpatuhan dalam mengisytiharkan aset.
Ops Godfather dilaksanakan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Pada 28 Feb, SPRM mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Tun Daim berikutan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan sebelum ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban baru-baru ini berkata tiga daripada anak tokoh perniagaan itu dikesan keluar dari negara ini pada hujung Januari dan awal bulan lepas.
Selain itu, Azam berkata kes itu turut melibatkan pengesanan harta di beberapa negara, namun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut termasuk lokasi dan jumlah aset dikesan.
“Kami mempunyai senarai harta di beberapa negara. Saya tidak mahu menyebut negara-negara berkenaan dan jumlahnya, tetapi ia berbilion ringgit yang telah kami kesan,” katanya.
Azam berkata siasatan dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas SPRM yang kini berkolaborasi dan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa negara terlibat.
Beliau menjelaskan proses itu perlu mematuhi peruntukan bantuan perundangan bersama atau Mutual Legal Assistance (MLA) sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diambil.
“Ada maklumat telah dikongsikan dengan pihak kami dan ada yang belum diperoleh. Kami akan kemas kini kemudian apabila mendapat senarai tambahan,” katanya.
-- BERNAMA
