AM

KPKT PERKENAL PARAMETER BAHARU, PASTIKAN KEDIAMAN MESRA NEURODIVERSITI

04/03/2026 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan beberapa parameter baharu dalam Draf MS 1184:2025 yang sedang dipinda bagi memastikan kediaman dan persekitaran awam lebih mesra orang kurang upaya (OKU) kognitif serta individu neurodiversiti seperti autisme dan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata antaranya ialah penyediaan ruang bertenang yang selamat, kalis bunyi dan mempunyai pencahayaan malap di lokasi tumpuan awam bagi membantu individu autisme menenangkan diri jika berhadapan situasi krisis atau terlebih rangsangan.

“Selain itu, aspek pengurusan bebanan deria turut diberi perhatian termasuk kawalan pencahayaan dengan meminimumkan penggunaan lampu pendafluor yang berkelip atau berdesing dan menggantinya dengan pencahayaan semula jadi atau lampu LED yang boleh dilaras tahap kecerahannya,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Negara hari ini bagi menjawab pertanyaan Senator Manolan Mohamad yang meminta kerajaan memperincikan parameter baharu diperkenalkan dalam piawaian MS 1184:2025 bagi memastikan kediaman atau persekitaran semasa benar-benar mesra OKU kognitif atau neurodiversiti. 

Aiman Athirah berkata kawalan akustik dan visual juga dimasukkan sebagai komponen penting termasuk penggunaan warna low arousal seperti pastel berbanding warna terang selain reka bentuk dinding kalis bunyi serta pengurangan corak kemasan lantai serta dinding yang pelbagai.

Langkah itu bertujuan mengurangkan rangsangan berlebihan yang boleh menimbulkan ketidakselesaan atau tekanan kepada golongan neurodiversiti dalam persekitaran kediaman dan kemudahan awam.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan