KOTA KINABALU, 4 Mac (Bernama) -- Penduduk kampung dan nelayan yang tinggal di kawasan pinggir sungai kini hidup dalam kebimbangan susulan kemunculan buaya yang dilaporkan semakin kerap sejak kebelakangan ini.
Penduduk Kampung Mempakul, Menumbok, Kuala Penyu, Awangku Hakimi Ak Mohamad Zaidi, 21, yang tinggal berdekatan dengan Sungai Kampung Laut berkata kehadiran reptilia itu mula disedari penduduk kampung sejak penghujung 2024.
Awangku Hakimi yang bekerja sendiri berkata anak-anak buaya kerap kelihatan berenang-renang di permukaan sungai dan situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung yang menjadikan sungai itu sebagai sumber pendapatan.
“Bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, kami masih juga turun ke sungai namun bergantung dengan keadaan pasang surut sungai tetapi aktiviti mandi di sungai sudah dikurangkan,” katanya kepada Bernama.
Bercerita lanjut, Awangku Hakimi berkata pada 4 April tahun lepas, sekitar 3 pagi ketika bapa saudaranya turun ke perahu, telah terserempak dengan seekor buaya yang sedang berehat di kawasan berhampiran.
Awangku Hakimi berkata bapa saudaranya yang cemas terus melaporkan penemuan itu kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk menangkap buaya sepanjang tiga meter dengan berat 250 kilogram itu.
“Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat memasang papan tanda amaran supaya penduduk kampung dan orang luar lebih berhati-hati selain berusaha untuk menangkap buaya bagi membantu nelayan turun ke sungai atau laut mencari rezeki,” katanya.
Nurhalim Abdul Faiz, 26, dari Kampung Tinusa 2, Batu 7 yang tinggal di perkampungan atas air Sungai Tinusa, Sandakan mengakui penduduk sentiasa berdepan risiko tinggal berhampiran habitat buaya, dan perlu sentiasa berwaspada terutama pada waktu malam kerana reptilia itu lazimnya keluar mencari makan ketika itu.
Dia turut berkongsi pengalaman sendiri bertembung dengan seekor buaya pada Mei tahun lepas, sekitar 11 malam apabila terdengar bunyi burung di bawah rumahnya yang kebiasaannya petanda terdapat gangguan binatang buas.
“Apabila keluar dan melihat di bawah rumah, saya ternampak buaya dan memberanikan diri untuk menangkap menggunakan tali sebelum mematikan lampu luar rumah supaya reptilia itu tidak lari,” katanya yang terus mendapatkan bantuan sebelum APM berjaya menangkap anak buaya sepanjang 1.5 meter dan berat 16 kilogram.
Selain itu, Nurhalim berkata kehadiran reptilia pemangsa itu turut menjejaskan rutin harian penduduk yang bergantung kepada sungai apabila mereka tidak lagi memancing atau menyelam terutama ketika air sungai keruh.
Bagi Ronny Akai, 50-an, yang tinggal di sekitar Sungai Serudung Laut, Tawau mengakui kejadian pertama penduduk kampung dibaham harimau berlaku pada 2004 dan insiden itu menjadi peringakat kepada penduduk supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di sungai berkenaan.
Katanya, Sungai Serudung dikategorikan sebagai bahaya kerana tidak mengetahui jumlah sebenar buaya yang menghuni sungai berkenaan sekali gus menjejaskan punca rezeki penduduk yang bergantung kepada sumber sungai.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, penduduk jika mahu turun ke sungai pastikan dahulu keadaan selamat pada waktu pagi, dan selepas 6 petang memang tidak boleh turun ke sungai,” katanya yang juga mahu agar papan tanda amaran dipasang di kawasan sungai berkenaan.
-- BERNAMA
