DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI SUSULAN KENAIKAN BERTERUSAN MINYAK MENTAH DALAM KONFLIK AS-IRAN

03/03/2026 09:40 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini, menjejaki kenaikan berterusan harga minyak mentah di tengah-tengah konflik Amerika Syarikat-Iran yang berlarutan.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata konflik di Timur Tengah menyebabkan harga minyak mentah meningkat yang seterusnya menyokong harga minyak sawit.

"Kami mendapati harga MSM disokong melebihi RM4,100 dengan paras rintangan pada RM4,280 setiap tan," katanya kepada Bernama.

Sewaktu berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 6.56 peratus kepada US$82.84 setiap tong.

Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2026 menokok RM22 kepada RM4,080 setiap tan, kontrak April 2026 melonjak RM32 kepada RM4,164 setiap tan dan kontrak Mei 2026 naik RM39 kepada RM4,186 setiap tan.

Kontrak Jun 2026 bertambah RM44 kepada RM4,194 setiap tan, kontrak Julai 2026 berkembang RM44 kepada RM4,192 setiap tan dan kontrak Ogos 2026 meningkat RM42 kepada RM4,184 setiap tan.

Jumlah dagangan menokok kepada 85,265 lot daripada 85,168 pada Isnin manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 225,871 kontrak daripada 224,728 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi Mac Selatan meningkat RM10 kepada RM4,100 setiap tan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan