IPOH, 3 Mac (Bernama) -- Seorang pengurus sebuah syarikat pengangkutan didenda RM40,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 6,633 liter diesel tanpa lesen sah, tiga tahun lepas.
Hakim Ainul Sharin Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Yap Shao Pin, 31, pengurus syarikat T&L Supply Trading Sdn Bhd dan memerintahkan dia dikenakan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didapati memiliki barang kawalan iaitu 6,633 liter minyak diesel dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit tanpa lesen.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis T&L Supply Trading Sdn Bhd, No 30A, Persiaran Rishah 14, Kawasan Perindustrian Silibin, Ipoh pada 1 tengah hari, 5 Jan 2023.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut mengarahkan wang tunai hasil jualan berjumlah RM17,909 dan empat lori tangki dilucutkan hak kepada kerajaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) N. Shamani manakala tertuduh diwakili peguam Dahlia Tan.
-- BERNAMA
