AM

FI LESEN GIMNASIUM IBU KOTA TURUN 80 PERATUS, PENGUSAHA DIGALAK TAWAR DISKAUN - HANNAH

03/03/2026 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Pengusaha gimnasium di ibu kota digalak menyalurkan manfaat 80 peratus penurunan kadar fi lesen operasi, yang berkuat kuasa 1 Jan lepas kepada masyarakat dengan pendekatan berimpak tinggi seperti menawarkan diskaun keahlian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menyarankan diskaun keahlian diberikan bagi sesi senaman antara 6 pagi hingga 8 pagi dan 5 petang hingga 7 malam bagi menggalakkan aktiviti fizikal di luar waktu puncak serta membantu mengurangkan kesesakan trafik bandar.

Selain itu, beliau berkata pengusaha gimnasium juga digalak menyediakan kadar khas atau diskaun kepada warga emas bagi menyokong penuaan aktif dan sihat.

“Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuhkan ekosistem bandar yang lebih aktif, inklusif dan menyokong kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hannah berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, beban kesihatan awam lebih tertumpu di kawasan metropolitan dan pentadbiran Persekutuan, sekali gus menuntut pendekatan dasar yang lebih responsif dan bersasar di peringkat bandar.

“Kes penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi terus menunjukkan trend membimbangkan khususnya di kawasan bandar yang berdepan gaya hidup kurang aktif serta kekangan masa untuk melakukan aktiviti fizikal secara konsisten,” katanya.

Hannah berkata NHMS 2023 menunjukkan kadar berat badan berlebihan dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mencecah 32.6 peratus bersamaan kira-kira 6.86 juta orang.

Beliau berkata tiga kadar tertinggi di seluruh negara direkodkan di Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur dengan 40.6 peratus, diikuti Putrajaya (35.5 peratus) manakala Labuan (34.8 peratus).

Bermula Januari lepas, kadar fi lesen operasi gimnasium di ibu kota ditetapkan pada RM10 bagi setiap meter persegi berbanding RM50 sebelum ini, hasil libat urus bersama pemain industri termasuk Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia (PPGM).

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan