AM

JUMLAH MANGSA BANJIR DI SABAH TURUN KEPADA 363 ORANG

02/03/2026 09:33 PM

KOTA KINABALU, 2 Mac (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah terus berkurang kepada 363 orang daripada 133 keluarga malam ini, berbanding 377 orang daripada 136 keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa merupakan penduduk kampung yang terjejas banjir di Beaufort.

Sebanyak 93 kampung di daerah berkenaan terkesan akibat bencana itu.

“Kesemua mangsa masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara Dewan DUN Banir yang dibuka sejak Rabu lepas,” menurut kenyataan itu.

Sekretariat itu turut memaklumkan tiada sebarang laporan kemalangan jiwa atau mangsa terkorban diterima setakat ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tiada hujan di Sabah pagi ini, namun beberapa tempat di kawasan pedalaman dijangka mengalami ribut petir serta hujan pada sebelah petang dan malam.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan