KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026 yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 20 hingga 23 April ini akan memperkenalkan Pavilion Gabungan Industri Pertahanan Tempatan.
Pengarah Eksekutif DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd Nadzeem Abdul Rahman berkata pengenalan segmen baharu itu bertujuan memberikan ruang kepada pemain industri tempatan mempromosikan produk dan keupayaan pertahanan, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan untuk mengeksport teknologi itu ke luar negara.
"Ini satu gabungan baharu yang mengumpulkan pemain industri pertahanan tempatan bergabung untuk menonjolkan keupayaan mereka. Ia bertepatan dengan aspirasi kerajaan sekarang ini yang mahu melihat keupayaan syarikat tempatan untuk cuba keluar dan mengeksport teknologi pertahanan yang mereka ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini, yang turut menampilkan Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pertahanan Datuk Muhammad Ammir Haron.
Nadzeem berkata pameran edisi ke-19 itu turut memperkenalkan arena kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNE) sebagai platform khas bagi pempamer mengadakan demonstrasi serta forum bersama agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Sementara itu, Muhammad Ammir berkata penganjuran DSA turut menyasarkan untuk membawa limpahan ekonomi mencecah RM700 juta merangkumi sektor perhotelan, tiket penerbangan dan makanan.
Beliau berkata pameran dwitahunan yang merangkumi segmen maritim, aeroangkasa dan darat itu dijangka menjadi acara pameran seumpamanya yang terbesar di Asia Tenggara, dengan keluasan ruang pameran 48,000 meter persegi.
Acara itu menyasarkan kehadiran 50,000 pelawat, 500 delegasi antarabangsa dari 70 negara selain 1,400 pempamer, yang 400 daripadanya ialah syarikat tempatan.
Daripada perspektif hubungan antarabangsa, beliau berkata acara itu menjadi landasan diplomasi pertahanan serantau yang praktikal kerana menghimpunkan menteri, panglima tentera dan pemain industri dari pelbagai negara di bawah satu bumbung.
“Bayangkan kalau seorang pemimpin nak bertemu tujuh rakan sejawat daripada negara lain, agak sukar untuk diatur tapi di sini, nak berjumpa tujuh hingga 10 (rakan sejawat) itu mudah sekali, dan ini sebenarnya meningkatkan diplomasi pertahanan serantau itu sendiri,” katanya.
Muhammad Ammir berkata acara itu juga selari dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, yang antaranya bermatlamat menjadikan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi pertahanan tetapi juga pengeluar yang mampu menyertai rantaian nilai global.
-- BERNAMA
