POLITIK

PKR GANTUNG JAWATAN FAHMI ZAINOL SERTA-MERTA

02/03/2026 12:02 AM

GEORGE TOWN, 1 Mac (Bernama) -- Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memutuskan untuk menggantung semua jawatan parti yang disandang Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol berkuat kuasa serta-merta.

Fahmi yang juga Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang dikenakan tindakan itu susulan pendakwaan mahkamah yang sedang dihadapinya.

Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat MPP hari ini.

Beliau berkata penggantungan jawatan parti itu akan terus berkuat kuasa sehingga kes mahkamah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu diputuskan.

“Berhubung jawatan beliau dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Setiausaha Agung Keadilan akan mengutuskan surat kepada Ketua Menteri dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 27 Feb lepas, Fahmi, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya, minggu lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Dalam mesyuarat sama, MPP turut membincangkan isu surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Fuziah berkata parti sudah menerima jawapan daripada Rafizi dan mengambil maklum bahawa beliau kekal sebagai anggota parti dengan peringatan supaya sentiasa mematuhi perlembagaan, kod tataetika serta disiplin parti.

Mesyuarat MPP turut dimaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa satu usul tergempar ke Dewan Rakyat esok bagi mengecam serangan Israel dan sekutunya ke atas Iran.

Sementara itu, MPP memaklumkan PKR menerima 14,225 anggota baharu bagi tempoh Oktober 2025 hingga Januari 2026.

Antara anggota baharu itu ialah Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby dan Pengurus Strategik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Hidayat Abdullah.

Sementara itu, MPP turut memutuskan pelantikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man sebagai ahli ex officio MPP, manakala Muhd Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali PU Haris dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan