KUCHING, 1 Mac (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan curi minyak diesel di sekitar Bintulu menerusi ‘Op Lusuh’ pada Rabu dan Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Nixon Joshua Ali berkata kesemuanya yang berusia 22 hingga 32 tahun ditahan di lokasi berasingan.
Beliau berkata modus operandi kumpulan berkenaan adalah bergerak aktif pada waktu malam dengan menyasarkan lori yang diparkir di tepi jalan sebelum mencuri minyak diesel daripada tangki lori tersebut.
“Minyak diesel yang dicuri kemudian dipercayai dijual semula kepada pihak tertentu pada harga lebih rendah sebagai sumber pendapatan sampingan.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang daripada suspek berperanan menyediakan kenderaan dengan menerima upah wang tunai, manakala dua lagi terlibat secara langsung dalam aktiviti curi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nixon berkata dua daripada lelaki itu mempunyai rekod berkaitan dadah dan kes pecah rumah di beberapa daerah lain seperti Kapit, Sibu dan Song.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan suspek dalam kes jenayah lain yang masih belum selesai di sekitar Bintulu.
“Selain penahanan mereka, polis turut menyita sebuah kereta Proton Saga dan Proton Waja yang dipercayai digunakan semasa menjalankan kegiatan jenayah tersebut,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
