PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa usul untuk mengutuk serangan biadap dan ganas Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran di Dewan Rakyat esok.
Anwar menyifatkan tindakan rejim Zionis itu sebagai kezaliman dan pelanggaran undang-undang yang berulang yang perlu dikutuk.
“Kezaliman Zionis Israel tidak pernah henti kerana mereka ini sudah hilang dan gelap sama sekali perasaan kemanusiaan,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat tempatan di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini, yang turut dihadiri isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada warga Iran atas pemergian Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan itu.
“Bagi pihak seluruh rakyat Malaysia, kita mengucapkan Inna lillahiwa inna ilaihi rajiun atas pemergian Imam Khamenei dan keluarga kerana menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel,” kata beliau.
Agensi berita antarabangsa melaporkan rejim Zionis melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, dengan letupan dilaporkan di Tehran serta beberapa bandar termasuk Isfahan, Qom, Karaj dan Kermanshah.
Berita kematian Khamenei disahkan pagi ini apabila saluran penyiaran milik negara itu, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), mengumumkan bahawa ‘Pemimpin Agung Iran telah syahid’ sekali gus mengesahkan spekulasi sejak awal pagi ini.
Terdahulu, Presiden AS Donald Trump dan Israel mendakwa Khamenei maut dalam serangan bersama yang dilancarkan ke atas negara itu.
Washington dan Tel Aviv mendakwa Khamenei terbunuh dalam operasi ketenteraan mereka, namun pihak berkuasa Tehran menafikan kenyataan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada perang psikologi terhadap republik Islam itu.
-- BERNAMA
