KOTA KINABALU, 1 Mac (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah terus menunjukkan penurunan kepada 557 orang daripada 172 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 1,387 orang daripada 442 keluarga pada 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Beaufort telah ditutup selepas keadaan banjir menunjukkan perkembangan positif.
Menurut kenyataan itu, hanya PPS Dewan DUN Banir masih beroperasi di daerah Beaufort bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau mangsa terkorban dilaporkan.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa kawasan pedalaman Sabah dijangka mengalami hujan malam ini.
-- BERNAMA
