AM

DARIPADA KISAH "BUMBUNG BOCOR" KEPADA KEAZAMAN UNTUK KEBEBASAN NEGARA

01/03/2026 09:49 PM

Oleh M. Govind Nair

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Keadaan bumbung yang bocor pernah menguatkan azam Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu.

Susulan kemenangan besar Parti Perikatan dalam Pilihan Raya Persekutuan pada 1995, beliau menjadi Ketua Menteri pertama Persekutuan Tanah Melayu, memegang jawatan pada 9 Ogos 1955 sebagai Ketua Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri.

Namun, jawatan itu tidak datang dengan keselesaan.

Tunku Abdul Rahman mengimbas kembali bahawa beliau tidak disediakan kereta mahupun kediaman rasmi, sebaliknya beliau tinggal di sebuah rumah dengan bumbung yang bocor.

Pada satu malam, hujan lebat mencurah masuk melalui siling.

"Saya terpaksa menolak katil saya dari hujung bilik ke hujung yang lain.

"Ketika itulah saya berazam untuk menghalau British keluar … ," katanya.

Episod yang ringkas, namun sarat dengan makna itu, yang bersifat peribadi dan politik, adalah antara kisah yang dipelihara di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra (MTARP) di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur.

Peserta Salam Unity Explorace 2026, anjuran Yayasan Salam Malaysia dengan kerjasama MTARP, menemukan kisah ini ketika mencari jawapan kepada petunjuk semasa pertandingan ala pemburuan harta karun yang berlangsung pada 8 Feb lepas, bersempena dengan ulang tahun kelahiran Tunku Abdul Rahman ke-123.

Bagaimanapun, seseorang tidak perlu menyertai explorace untuk menyingkap detik-detik sedemikian.

Kunjungan ke MTARP memperlihatkan sisi Tunku Abdul Rahman, melangkaui imej biasa di Stadium Merdeka dan laungan "Merdeka".

Di pintu masuk, sebuah Cadillac Fleetwood 1959 V8 dipamerkan. Diimport dari Amerika Syarikat pada 1965, kenderaan itu menjadi kereta rasmi Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Reka bentuk sirip ekor yang tersendiri dan garisan mendatar menyebabkan sesetengah pengunjung menyamakan kenderaan itu dengan "Batmobile" dalam budaya popular, peringatan yang unik dan menarik tentang era yang berbeza.

Di Residensi, tempat beliau menetap sebagai Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, kemudiannya menjadi Perdana Menteri pertama Malaysia, pengunjung boleh melihat bilik-bilik yang dipelihara, mencerminkan kesederhanaan kehidupan peribadinya.

Di Bilik Cairo, yang dinamakan sedemikian kerana kerusinya dibeli dari ibu negara Mesir, Kaherah, adalah antara ruang berkenaan.

Di sudut lain, surat khabar yang dipelihara menceritakan kisah Tunku Abdul Rahman menjadi tukang masak, menyediakan daging panggang untuk 200 tetamu dalam satu majlis makan malam pada 1982, mengingatkan kita tentang sifat mesra beliau dan seorang yang mudah didekati.

Satu lagi paparan merakamkan jenakanya, "Berbuat baiklah kepada mereka yang anda temui ketika berada di atas kerana apabila anda turun nanti, anda akan bertemu dengan mereka semula, melainkan anda memilih untuk terjun dan mematahkan leher sendiri!".

Turut dipamerkan ialah artifak peribadi beliau, termasuk butiran nombor kad pengenalan dan maklumat tentang haiwan peliharaannya, serpihan kecil, tetapi menarik yang memanusiakan Bapa Kemerdekaan itu.

Menurut Arkib Negara Malaysia, MTARP menempatkan lebih 80,000 bahan berkaitan Tunku Abdul Rahman. Terletak di tapak seluas dua hektar, memorial itu gah berdiri bukan sekadar repositori dokumen, tetapi juga sebagai ruang refleksi.

Di sinilah juga pengunjung dapat menelurusi renungan Tunku Abdul Rahman tentang muhibah, "Menghormati hak seseorang adalah penting untuk mencapai muhibah. Dan muhibah tidak boleh dipaksakan melalui undang-undang".

Sejarah di MTARP tidak terhad kepada ucapan dan tarikh, namun sejarah itu hidup dalam bilik yang dipelihara, keratan akhbar dan kenangan peribadi yang diarkibkan dengan teliti, serta kisah bumbung bocor yang menguatkan azam seorang pemimpin muda.

Bagi mereka yang ingin memahami bukan sahaja bagaimana kemerdekaan dicapai, tetapi tentang siapa Tunku Abdul Rahman sebagai seorang insan, kunjungan ke MTARP menawarkan pemahaman yang tidak dapat diperoleh daripada buku teks semata-mata.

Memorial itu dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang pada Selasa hingga Khamis, 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5 petang pada Jumaat, serta 9 pagi hingga 5 petang pada Sabtu dan Ahad. Memorial itu ditutup pada setiap Isnin.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan