AM

KDN SIASAT ELEMEN JENAYAH TERANCANG - SAIFUDDIN NASUTION

28/02/2026 09:13 PM

MACHANG, 28 Feb (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut, termasuk kemungkinan wujud elemen jenayah terancang, susulan penahanan sembilan individu yang disyaki terbabit dalam insiden melepaskan tembakan ke arah kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah, Rabu lepas.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sekiranya ia merupakan jenayah terancang, ia perlu memenuhi kriteria di bawah Seksyen 130V (Kanun Keseksaan), iaitu melibatkan dua atau lebih individu yang memperoleh manfaat, sama ada melalui pengaruh atau wang ringgit.

"Kita masih meneliti sama ada mereka ini bertindak sebagai satu kumpulan," katanya dalam sidang media selepas program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Simpul Belubang, di sini.

Beliau berkata kes berkenaan belum diklasifikasikan sebagai jenayah terancang kerana proses pengumpulan bukti masih dijalankan.

"Semalam kita menahan dua lagi individu, menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini sembilan orang. Kumpulan itu terdiri daripada lapan lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing."

"Pihak polis juga akan memohon perintah reman ke atas dua suspek yang baru ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Pelbagai hipotesis siasatan sedang dikaji,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata antara fokus utama siasatan termasuk kemungkinan penglibatan kumpulan itu dalam kegiatan penyeludupan barangan, penyeludupan manusia dan migran, pemerdagangan manusia serta ancaman terhadap penguat kuasa.

Menyentuh mengenai motif insiden, beliau tidak menolak kemungkinan ia merupakan bentuk tindak balas dendam sindiket susulan tindakan tegas kerajaan memperketatkan kawalan sempadan baru-baru ini.

Sebelum ini, polis menahan sembilan individu termasuk seorang wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 52 tahun dalam beberapa serbuan di Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis, pada hari yang sama selepas kejadian.

Insiden itu berlaku apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dipandu Mohd Nasaruddin ditembak pada pukul 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Suspek yang menaiki sebuah motosikal dipercayai melepaskan dua das tembakan menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan mangsa.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan