KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Rentetan perkembangan terkini di rantau Timur Tengah, Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar menyarankan rakyat Malaysia yang berada di Qatar untuk terus peka mengikuti perkembangan semasa.
Kedutaan dalam satu kenyataan pada Sabtu menyeru rakyat Malaysia di Qatar untuk mendapatkan maklumat hanya daripada sumber-sumber sahih, termasuk pengumuman rasmi pihak berkuasa Qatar dan Kedutaan Besar Malaysia.
“Elakkan penyebaran maklumat yang tidak disahkan,” menurut kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Kedutaan itu.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, kedutaan itu memaklumkan pihak berkuasa Qatar telah mengeluarkan notis memaklumkan bahawa keadaan di Qatar adalah tenang dan terkawal.
Bagaimanapun menurut kedutaan, semua rakyat Malaysia di Qatar adalah dinasihatkan untuk terus memantau perkembangan semasa dari sumber-sumber sahih, mengikuti arahan lanjut yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Qatar, jika ada dan mengelakkan dari berada berhampiran dengan kem atau kawasan tentera.
Pihak berkuasa Qatar juga telah mengeluarkan notis memaklumkan supaya semua berada dalam bangunan dan mengambil langkah berjaga-jaga.
“Sehubungan dengan itu, semua rakyat Malaysia di Qatar adalah dinasihatkan untuk tidak berada di luar, mengambil langkah berjaga-jaga dan terus mengikut perkembangan semasa.
“Buat masa ini, sebahagian ruang udara Qatar telah ditutup. Oleh itu, semak jadual terkini dan rancang perjalanan anda dengan teliti,” katanya.
Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi Kedutaan Besar Malaysia melalui talian +974 3374 6733 (kecemasan sahaja) atau melalui e-mel mwdoha@kln.gov.my.
“Rakyat Malaysia yang masih belum berdaftar dengan Kedutaan, pendaftaran boleh dibuat melalui sistem e-Konsular di pautan berikut: https://ekonsular.kin.gov.my,” katanya.
Terdahulu, Anadolu Ajansi melaporkan bahawa menteri pertahanan Israel berkata Tel Aviv telah melancarkan serangan ke atas Iran.
-- BERNAMA
