POLITIK

RAFIZI DIBERI TEMPOH HINGGA ESOK JAWAB SURAT TUNJUK SEBAB - FUZIAH

27/02/2026 09:57 PM

KOTA BHARU, 27 Feb (Bernama) -- Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli diberi tempoh sehingga esok untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan atas tiket PKR.

Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata parti itu telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Rafizi pada 23 Feb lepas dan diberi tempoh selama lima hari untuk memberikan jawapan.

“Dia kata akan bertanding PRU16 bukan atas tiket PKR, ia mungkin menimbulkan persepsi sama ada dia berhasrat untuk keluar daripada parti, jadi surat tunjuk sebab itu bagi peluang dia menjelaskan… sebab kami tidak mahu ambil tindakan begitu sahaja, sebaik-baiknya kami ikut perlembagaan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Rahmah MADANI di pekarangan Mydin Tunjong di sini hari ini.

Fuziah berkata PKR tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru tanpa mendengar penjelasan daripada Bekas Menteri Ekonomi itu.

“Pada 1 Mac ini, kami akan adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat, keputusan terhadap Rafizi pula, Insya-Allah… tengok macam mana,” katanya.

Semalam, Rafizi mengesahkan menerima surat tunjuk sebab daripada PKR atas alasan beliau telah mengisytiharkan keluar parti.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan