Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN pada Jumaat tetapi rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain berikutan peniaga kekal berhati-hati dalam risiko geopolitik dan ketidaktentuan mengenai tarif AS.
Pada 6 petang, ringgit merosot kepada 3.8910/8960 berbanding dolar AS daripada 3.8865/8925 semasa ditutup semalam.
Dilaporkan bahawa pegawai AS dan Iran telah mengadakan pertemuan di Geneva, Switzerland semalam untuk pusingan ketiga rundingan nuklear tidak langsung tetapi perbincangan tersebut berakhir tanpa persetujuan. Satu lagi pusingan rundingan dijadualkan diadakan di Vienna minggu depan.
Selain itu, ketidaktentuan berterusan mengenai dasar perdagangan AS susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu telah mendorong pelabur untuk mengambil pendekatan berhati-hati.
Mengenai perkembangan terkini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan berhubung dengan rakan sejawatannya dari AS mengenai implikasi keputusan Mahkamah Agung negara tersebut mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dan tarif baharu yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri akan menunggu hasil perbincangan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.
Malaysia telah memeterai ART tetapi belum meratifikasi perjanjian itu.
Mengulas prestasi ringgit hari ini, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berdasarkan perkembangan terkini, ringgit kekal dalam jajaran kecil berbanding dolar AS hari ini.
“USD/MYR berada antara RM3.8848 dan RM3.8935 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia rendah berbanding euro kepada 4.5898/5957 daripada 4.5853/5924 semasa ditutup pada Khamis dan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.4930/4963 daripada 2.4902/4942 semalam.
Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding pound kepada 5.2470/2538 daripada 5.2573/2654 sebelum ini.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0742/0784 daripada 3.0755/0805 semasa ditutup semalam, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 231.7/232.2 daripada 231.9/232.3 pada Khamis dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.5153/5370 daripada 12.5169/5435 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.75/6.76 daripada 6.74/6.76 semalam.
-- BERNAMA
