TOKYO, 26 Feb (Bernama-Kyodo) -- Jumlah kelahiran di Jepun pada 2025 menurun daripada tahun sebelumnya kepada 705,809, paling sedikit sejak data mula direkodkan pada 1899 sekali gus mencatatkan rekod terendah baharu untuk tahun ke-10 berturut-turut, lapor Agensi Berita Kyodo yang memetik data kementerian kesihatan yang dikeluarkan pada Khamis.
Angka itu, termasuk warga asing, susut 2.1 peratus berbanding 2024 susulan populasi yang semakin menua dengan pantas serta kebimbangan meningkat mengenai pengasuhan anak kerana kos sara hidup yang lebih tinggi susulan inflasi. Bagaimanapun, kadar penurunan itu lebih perlahan berbanding tahun sebelumnya.
Selain kebimbangan ekonomi, lebih ramai dilihat memilih untuk berkahwin dan mempunyai anak pada usia lebih lewat atau tidak berkahwin langsung berikutan perubahan keutamaan, menurut pakar.
Penyusutan populasi tidak menunjukkan tanda-tanda reda, dengan penurunan semula jadi -- iaitu jumlah kematian ditolak jumlah kelahiran -- mencecah tahap tertinggi pernah direkodkan sebanyak 899,845, menurut data awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan.
Institut Penyelidikan Penduduk dan Keselamatan Sosial Kebangsaan sebelum ini mengunjurkan jumlah kelahiran, termasuk dalam kalangan warga asing di negara itu, tidak akan jatuh di bawah 710,000 sehingga 2042.
Dalam data berasingan yang dikeluarkan kementerian itu pada Jun tahun lepas, jumlah bayi yang dilahirkan oleh warganegara Jepun pada 2024 menurun kepada 680,000, sekali gus jatuh di bawah 700,000 buat kali pertama.
-- BERNAMA-KYODO
