WASHINGTON, 26 Feb (Bernama-Yonhap) -- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio pada Rabu memberi isyarat kesediaan Washington untuk mengadakan dialog dengan Pyongyang, lapor Agensi Berita Yonhap.
Perkembangan itu hadir ketika pemimpin Korea Utara Kim Jong-un menyatakan kesediaan untuk kembali berurusan dengan AS sekiranya kuasa besar itu menggugurkan dasar "bermusuhan" terhadap rejimnya.
Rubio menyentuh ringkas mengenai potensi penglibatan dengan rejim terasing itu semasa sesi sidang media di Frigate Bay, Saint Kitts dan Nevis.
Ia menyusul selepas Kim baru-baru ini menyampaikan mesej kepada AS semasa kongres utama parti, dengan menyatakan bahawa prospek hubungan AS-Korea Utara "bergantung sepenuhnya kepada sikap AS".
"Memadai untuk saya katakan bahawa Amerika Syarikat sentiasa bersedia untuk bercakap dengan pegawai dari mana-mana kerajaan yang mempunyai maklumat atau pandangan yang ingin dikongsi dengan kami, dan itu adalah tugas saya," kata Rubio menurut transkrip yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara.
"Jadi sama ada ia melibatkan pihak di Cuba, atau berpotensi di Korea Utara suatu hari nanti, atau di Iran pada masa ini, kami sentiasa terbuka untuk mendengar. Ia jelas berbeza daripada rundingan, namun kami bersedia untuk mendengar pandangan orang lain," tambahnya.
Kenyataan beliau dibuat di tengah-tengah spekulasi bahawa Presiden AS Donald Trump mungkin berusaha untuk menyambung semula dialog dengan Kim apabila beliau melawat China, yang dilaporkan dijadualkan dari akhir bulan depan hingga awal April.
Trump telah berulang kali menyatakan keterbukaannya untuk berdialog dengan Kim. Kedua-dua pemimpin itu pernah mengadakan tiga pertemuan secara bersemuka semasa penggal pertama Trump iaitu sidang kemuncak pertama di Singapura pada Jun 2018, kedua di Hanoi pada Februari 2019 dan ketiga di perkampungan sempadan antara Korea, Panmunjom pada Jun 2019.
-- BERNAMA-YONHAP
