AM

KEBAKARAN LIMA MAUT: JKM BERI SOKONGAN AWAL KEPADA ANAK MANGSA

26/02/2026 05:47 PM

RAUB, 26 Feb (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang memberikan sokongan awal untuk mengurangkan trauma waris terutamanya anak pasangan yang terkorban dalam kebakaran rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong di sini hari ini.

Pengarah JKM Pahang Khairul Amri Ahmad memaklumkan pihaknya telah membuat lawatan, pemantauan dan siasatan di tempat kejadian. 

“Kaunselor JKM telah memberikan sokongan awal dari segi psikologi untuk mengurangkan trauma mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau memaklumkan JKM menyerahkan bantuan kerajaan negeri, iaitu Bantuan Segera Tabung Malapetaka Daerah (TMD) sebanyak RM2,000 kepada waris manakala bantuan lain akan diserahkan selepas urusan pengebumian.

Kebakaran pada awal pagi tadi mengorbankan Mohd Alawi Muhammad, 56, dan isteri Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak perempuan mereka Ruby Adira Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, serta Ruby Azyan Barizah, 10 tahun.

Dua lagi anak pasangan itu selamat kerana tiada di rumah, iaitu Ruby Adalia Balqis, 19, yang merupakan pelajar matrikulasi di Gambang, Kuantan manakala Ahmad Balia Murqam, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah dan turut melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosikal.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan