AM

KETEGANGAN IRAN-AS: 13 RAKYAT MALAYSIA MASIH DI IRAN, PILIH KEKAL SECARA SUKARELA

26/02/2026 12:05 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Sebanyak 13 rakyat Malaysia termasuk beberapa pelajar, masih berada di Iran dan memilih untuk kekal di negara itu secara sukarela walaupun telah ditawarkan bantuan untuk dibawa pulang ke tanah air.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan turut mengeluarkan nasihat perjalanan beberapa kali, susulan ketegangan memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Beliau berkata kesemua individu berkenaan telah diminta menandatangani surat indemniti sebagai pengakuan bahawa mereka memilih untuk kekal di negara itu atas kerelaan sendiri.

“Kerajaan telah menasihatkan mereka supaya pulang, namun mereka memilih untuk terus berada di sana. Maka mereka telah menandatangani surat indemniti bahawa kerajaan tidak boleh dipersalahkan sekiranya berlaku sesuatu (tidak diingini),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai jumlah rakyat Malaysia yang berada di Iran serta langkah kerajaan untuk membawa mereka pulang jika berlaku konflik bersenjata antara AS dan Iran.

Mohamad berkata kerajaan telah mengambil langkah awal dengan membawa pulang keluarga kakitangan diplomatik Malaysia di Tehran sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sebelas orang ahli keluarga diplomat telah dibawa pulang pada 18 Jan, manakala pegawai-pegawai kedutaan termasuk Duta Malaysia dipanggil pulang pada 2 Feb untuk rundingan dan penilaian keadaan semasa,” katanya.

Selain itu, Mohamad berkata kerajaan telah mengeluarkan nasihat perjalanan sebanyak dua kali supaya rakyat Malaysia tidak ke Iran kecuali atas urusan yang benar-benar mustahak.

Beliau turut menasihati rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Iran dalam tempoh ketegangan ini bagi mengelakkan risiko keselamatan.

Menurut Mohamad, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa melalui laporan perwakilan Malaysia di rantau berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya situasi keselamatan bertambah buruk.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan