AM

GEMPA BUMI: INTERAKSI TIGA PLAT TEKTONIK PUNCA GEGARAN KUAT DI SABAH - PAKAR

23/02/2026 06:34 PM

Oleh Puti Iylia Maisarah dan Kuvineshwaren A/L Nedunjelian

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Pergerakan serta tekanan yang berlaku antara tiga plat tektonik utama di zon subduksi berhampiran Sabah dikenal pasti faktor utama berkemungkinan mencetuskan gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 di perairan negeri itu, tengah malam tadi.

Pensyarah Kanan Program Geosains Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Muhd Nur Ismail Abdul Rahman berkata pertembungan dan interaksi dinamik antara plat Indo-Australia, Eurasia dan Filipina menyebabkan pengumpulan tenaga yang tinggi dalam kerak bumi.

Beliau berkata apabila tekanan melepasi tahap ketahanan batuan, tenaga yang tersimpan dilepaskan secara mendadak, sekali gus menghasilkan gegaran kuat bermagnitud 6.8.

Muhd Nur Ismail berkata meskipun gempa tersebut pada skala besar, kedalamannya yang mencecah 678 kilometer (km) menyebabkan risiko kerosakan besar adalah rendah.

“Gempa yang sangat dalam menyebabkan gegaran boleh dirasai luas tetapi intensitinya di permukaan biasanya lebih lemah. Bagi gempa sedalam ini, susulan biasanya lebih kecil dan kurang kerap berbanding gempa cetek,” katanya kepada Bernama hari ini.

Muhd Nur Ismail berkata bagaimanapun Sabah kekal sebagai kawasan paling terdedah di Malaysia kerana kedudukannya berhampiran zon subduksi berbanding wilayah lain.

Sementara itu, Penolong Penyelidik Southeast Asia Disaster Prevention Research Initiative (SEADPRI-UKM) B Navakanesh menyifatkan fenomena itu sebagai Deformasi Lempeng Dalam.

“Ini bermakna gempa bumi berlaku pada lempeng yang tersubduksi, bukan pada sistem patahan seperti dilihat dalam gempa sebelum ini. Di bawah tekanan tinggi pada kedalaman sebegini, ia membolehkan lempeng itu menimbun tekanan dan akhirnya kegagalannya boleh melepaskan tenaga yang amat besar.

“Memandangkan ia berlaku pada kedalaman sedemikian, kebanyakan tenaga telah diserap oleh mantel dan kerak bumi. Jadi, gelombang yang sampai ke permukaan hanyalah gelombang frekuensi rendah yang menyebabkan kerosakan kecil. Tiada risiko yang perlu dibimbangkan,” katanya.

Mengenai kemungkinan gegaran susulan, Navakesh berkata gempa bumi yang berlaku pada kedalaman biasanya reda lebih cepat berbanding gempa yang berlaku berhampiran permukaan.

“Walaupun lokasi kita nampak dekat, hakikatnya  ia tidak saling berkait. Kebanyakan gempa yang berlaku adalah gempa intraplate, yang diaktifkan semula oleh pelbagai faktor lain. Bagaimanapun, sempadan pada masa kini juga menimbulkan beberapa ancaman, iaitu tekanan boleh berpindah ke sistem patahan tempatan,” katanya.

Profesor Gs Dr Rosmadi Fauzi dari Jabatan Geografi Universiti Malaya (UM) pula berkata kejadian itu  adalah isyarat jelas bahawa Malaysia tidak lagi kebal daripada risiko tektonik.

Beliau yang merupakan pakar Pemetaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) berkata fokus negara kini perlu beralih kepada mengenal pasti bahaya berpotensi melalui teknologi pemetaan bagi menyokong kesiapsiagaan lebih berkesan.

“Bencana tidak bermula dengan peristiwa, tetapi bermula dengan ruang. Sudah tiba masanya pendidikan geografi di sekolah diperkasakan bagi membina masyarakat lebih peka terhadap risiko bencana dan keselamatan ruang,” katanya. 

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan gempa bumi yang berpusat 49 km ke barat Kudat itu tidak membawa ancaman tsunami, namun ia merupakan yang terkuat pernah melanda negara dalam tempoh 11 tahun.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan