PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Malaysia merekodkan penurunan ketara kes denggi sebanyak 54.7 peratus iaitu 55,399 kes pada tahun lepas berbanding 122,423 kes bagi tempoh sama pada 2024, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional (JKKN) menerusi satu kenyataan berkata perkara berkenaan dimaklumkan pada Mesyuarat JKKN Bilangan 1 2026 yang dipengerusikan beliau hari ini.
“Kematian akibat komplikasi denggi turut menurun 59.8 peratus dengan 47 kematian berbanding 117 sebelumnya.
“Walaupun pencapaian ini memberangsangkan, semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan masyarakat perlu terus memperkukuh usaha menjaga kebersihan persekitaran bagi mencegah peningkatan semula kes pada 2026,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan inisiatif Komuniti Bebas Denggi (KomBeD) di lokaliti terpilih melalui tiga strategi utama iaitu pengurusan persekitaran, pemerkasaan penglibatan komuniti dan intervensi entomologi.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut menegaskan kepentingan pematuhan Nota Semakan Tatacara Reka Bentuk dan Struktur Bangunan oleh Jabatan Kerja Raya dalam semua projek pembangunan bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes.
Mengenai mesyuarat JKKN, Timbalan Perdana Menteri berkata mesyuarat itu dilaksana khusus bagi menyantuni keperluan kesihatan rakyat secara holistik dengan menggembleng kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri di bawah pendekatan keseluruhan negara selari dengan iltizam nerajaan
“Mesyuarat kali ini menandakan permulaan fasa baharu dalam tadbir urus kesihatan negara, dengan berlakunya integrasi antara tiga jawatankuasa utama terdahulu berkaitan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Denggi, dan Malpemakanan Kanak-Kanak kini disatukan di bawah satu tadbir urus strategik.
“Langkah integrasi ini mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk menyantuni keperluan kesihatan rakyat secara holistik, dengan menggembleng kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri di bawah pendekatan keseluruhan negara,” katanya.
Di bawah ANMS, Ahmad Zahid berkata kerajaan melalui KKM kekal komited memastikan kesejahteraan menerusi pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan celik kesihatan.
“Ia termasuk pelaksanaan Jelajah ANMS, Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS), aktiviti jangkauan luar, promosi dan advokasi kesihatan sepanjang Separuh Penggal Pertama (2021–2025).
“Usaha ini turut disokong menerusi penglibatan sukarelawan MyCHAMPION serta penambahbaikan akses perkhidmatan melalui pembangunan Wellness Hub dan perolehan Wellness on Wheels (WoW),” katanya.
Bagi Separuh Penggal Kedua (2026–2030), beliau berkata ANMS akan diperkukuh dengan pendekatan Behavioural Insights berasaskan sains tingkah laku melalui peluasan inisiatif bersasar untuk menurunkan prevalen penyakit dan faktor risiko kesihatan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat di semua peringkat umur.
“Kerajaan komited menangani beban malpemakanan, namun usaha ini memerlukan sinergi jitu daripada ibu bapa sebagai pihak berkepentingan terbesar.
“Kami menjemput ibu bapa untuk tampil sebagai sukarelawan yang proaktif menggalas tanggungjawab bersama memastikan kualiti dan standard pemakanan di TASKA sentiasa terjamin, demi masa depan anak-anak yang kita kasih,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyeru seluruh jentera kerajaan, swasta dan rakyat untuk bersama-sama menjayakan agenda berkenaan demi membina Malaysia yang sihat, sejahtera dan produktif.
-- BERNAMA
