KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Seiring dengan peningkatan permintaan terhadap pendidikan bertaraf antarabangsa di Malaysia, Cheltenham College International School Kuala Lumpur (CCKL) kini secara rasmi memulakan operasinya, sekali gus membawa bersama lebih 180 tahun warisan pendidikan British dalam pendidikan tempatan.
CCKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebagai kampus cawangan di Malaysia kepada Cheltenham College yang berprestij di United Kingdom (UK), pendaftaran bagi pengambilan pertama kini dibuka dan bakal menerima kemasukan pelajar pada April 2026.
“Pembukaan ini menandakan pencapaian penting bagi ibu bapa yang mencari pendidikan British, yang mengimbangi keteguhan akademik dengan pembangunan sahsiah dan kesedaran global,” menurut kenyataan itu.
Ditubuhkan pada 1841, Cheltenham College diiktiraf sebagai antara sekolah berasrama bebas ko-pendidikan terkemuka di UK, dengan reputasi kukuh dalam melahirkan pelajar yang serba boleh, iaitu kira-kira 10 peratus graduannya setiap tahun cemerlang dari segi akademik dan pencapaian kokurikulum.
“Malah banyak pelajar Cheltenham College melanjutkan pelajaran ke universiti bertaraf tinggi dan mengikuti kursus kompetitif. Mewarisi legasi ini, CCKL menyesuaikan falsafah pendidikan sekolah untuk konteks Malaysia dan serantau.
“Dipandu dengan pendekatan Cheltenham College UK, kampus Kuala Lumpur mengamalkan rangka kerja 5C, iaitu Curiosity (Rasa Ingin Tahu), Creativity (Kreativiti), Character (Sahsiah), Community (Komuniti), dan Continuous Excellence (Kecemerlangan Berterusan), yang mencerminkan kepercayaan bahawa pendidikan harus membentuk individu yang yakin dan beretika, selain meletakkan asas akademik yang kukuh,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Edumaax Education Group Anne Rajasaikaran berkata CCKL komited mengangkat standard pendidikan British ke tahap lebih tinggi dengan menggabungkan piawaian akademik global dengan semangat komuniti serta tujuan yang kukuh.
“Visi kami ialah membentuk pelajar yang berkarakter, berdaya tahan dan berperspektif global, bersedia memimpin dengan yakin dalam dunia yang pantas berubah,” katanya.
Bakal menyandang jawatan Pengasas Ketua Sekolah CCKL Paul Samuel berkata dengan menggabungkan tradisi lama Cheltenham College bersama penekanan terhadap kepimpinan dan komuniti, beliau berhasrat mendidik pelajar yang berkeyakinan tinggi serta menjadi warganegara global yang bertanggungjawab.
Paul, yang berpengalaman bertahun-tahun dalam pendidikan British dan antarabangsa serta pernah menerajui sekolah-sekolah terkemuka di Eropah, Amerika Utara, Timur Tengah dan India, bakal meneruskan kepimpinannya di CCKL dengan mencerminkan etos sekolah induknya, Cheltenham College di UK, sambil memupuk pembangunan kepimpinan dan semangat komuniti yang tinggi.
CCKL Kampus Kuala Lumpur menawarkan kurikulum berasaskan British yang komprehensif merangkumi Key Stage 1 hingga 4 dan diakhiri dengan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) serta Key Stage 5 dengan kelayakan GCE A-Levels.
“Struktur akademik itu disokong oleh hari persekolahan yang lebih panjang dan pelbagai aktiviti kokurikulum termasuk kelab dan sukan, yang direka untuk membangunkan keyakinan, kerjasama dan kemahiran kepimpinan.
“Selain akademik, model pendidikan sekolah ini mencerminkan pengiktirafan bahawa kejayaan dalam pasaran pekerjaan masa depan memerlukan keupayaan menyesuaikan diri, kesedaran budaya dan kemahiran interpersonal yang kukuh, iaitu kualiti yang semakin dihargai dalam ekonomi global yang saling berhubung,” menurut kenyataan itu.
Kampus itu direka bagi menyokong persekitaran pembelajaran yang holistik dan menyeronokkan, dilengkapi pelbagai kemudahan khusus seperti studio tarian, bilik muzik dan seni, makmal sains serta ICT, perpustakaan dan ruang rehat pelajar.
Selain itu, terdapat auditorium serta kemudahan sukan dalam bangunan termasuk gimnasium, gelanggang pickleball dan dodgeball selain kawasan sukan pelbagai guna.
CCKL meletakkan institusinya sebagai penanda aras baharu bagi pendidikan British di Malaysia dengan mengimbangi kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah selain perspektif global yang kukuh.
-- BERNAMA
